MALAYSIA memerlukan satu mekanisme sesuai bagi membolehkan pengamal media dan ‘citizen journalism’ menyampaikan maklumat secara berhemah serta telus kepada orang ramai.

Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata, langkah itu dilihat mampu memelihara etika kedua-dua pihak itu sebagai penyalur maklumat kepada masyarakat.

“Ia juga akan memelihara etika mereka sebagai penyalur maklumat kepada masyarakat. ‘Citizen journalism’ adalah sesiapa sahaja yang boleh mendapatkan maklumat dan berkongsi dengan orang lain, tetapi mereka tidak terdidik dengan etika kewartawanan.

Kita bimbang mereka tidak dapat salurkan maklumat secara berhemah, jika dibandingkan dengan pengamal media yang berpegang kepada etika kewartawanan.

Media siber sukar dikawal, jadi kita perlukan satu bentuk peraturan dan bukan sekatan. Ia bagi memberi garis panduan untuk mereka menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Jika diperhatikan, 20 tahun lepas, rakyat banyak dipengaruhi media arus perdana, media cetak dan penyiaran.

Apabila internet wujud akhir 1996, kita dapati satu lagi ruang media baharu yang sangat berpengaruh telah dilahirkan. Justeru, rakyat bebas mendapatkan maklumat daripada laman sesawang, portal dan sebagainya apabila lahirnya teknologi internet.

Di sini, bermulanya satu era dipanggil ‘citizen journalism’ kerana ledakan maklumat yang banyak dalam media siber dan sebagainya. Orang ramai boleh akses apa juga maklumat seluruh dunia dan mereka boleh salurkan ke dalam banyak saluran media siber.

Ini adalah senjata yang digunakan rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan baharu kita sekarang. Kerajaan baharu sekarang berjuang begitu lama menggunakan kebijaksanaan dari segi era siber untuk mengajak rakyat berfikir.

Ambil kira sensitiviti, acuan negara

Apabila ada cadangan untuk menghapuskan akta-akta yang menyekat kebebasan media dan sebagainya, saya fikir, memang ada akta-akta yang kurang relevan dengan keadaan sekarang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Kita ada dua pilihan sama ada untuk menambah baik atau mansuhkan dan digantikan dengan regulasi baharu.

Saya nampak, apabila Akta Komunikasi dan Multimedia diwujudkan, akta ini hanya berpaksikan media-media elektronik dan ia tidak merangkumi media cetak. Pada saya ada ‘bias’ di di situ.

Apa yang kita boleh buat adalah, tambah baik kandungan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia sebab akta ini  tidak menyekat kebebasan media.

Kita ada kod kandungan yang diwujudkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF). Kandungan itu merupakan peraturan yang mengambil kira sensitiviti masyarakat dari segi kesihatan, kepercayaan, agama dan budaya.

Saya fikir, apa sahaja usaha untuk memansuhkan atau menambah baik regulasi yang berkaitan komunikasi dan media harus mengambil kita tentang sensitiviti dan acuan di negara kita.

Disekat kerana arahan kerajaan

Sebenarnya, media ini disekat kerana ada arahan daripada kerajaan terhadap isu-isu tertentu. Itu sahaja. Dari segi peraturan-peraturan media itu, saya rasa ia telah dibincangkan dan dipersetujui oleh pengamal-pengamal media itu sendiri.

Namun, saya fikir, tidak perlunya akta tertentu untuk kawal orang-orang politik mengawal media. Kita mahu mengamalkan kebebasan bermaklumat dan  membentuk masyarakat madani, seperti yang termaktub dalam Wawasan 2020.

Sejak BN memerintah lagi, kita dapati ada evolusi dalam dunia media. Banyak akta-akta yang wujud berkaitan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Penyiaran dan Akta Komunikasi dan Multimedia dikatakan menyekat media.

Jika diperhatikan inti pati perkara tersebut, kita dapati, akta-akta itu merupakan satu bentuk regulasi atau peraturan kepada media konvensional, cetak atau siber, bukan sekatan kepada media.

Secara keseluruhannya, evolusi perundangan media di negara kita yang dikatakan berbentuk sekatan akhirnya telah menjadi lebih liberal apabila internet dan teknologi diperkenalkan."