BANGI - Bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim berkata peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menjamin kedudukan dan kelestarian institusi beraja di negara ini.

Katanya, di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan dengan Raja dan hak-hak istimewa, kebesaran dan kedudukannya tidak boleh langsung dibawa ke Parlimen untuk dipinda kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat terutama orang Melayu supaya jangan bimbang mengenai kedudukan institusi beraja di negara ini, yang didakwa akan tergugat selepas PRU14.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel Bicara Persada ke-46 di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Bicara Persada “Mendepani Cabaran Melestari Institusi Beraja” anjuran UKM itu turut disertai pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz; Felo Utama Institut Kajian Etnik UKM, Prof Dr Teo Kok Seong dan Exco Pendidikan Pemuda Bersatu, Mohd Asyraf Mustaqim Badrul Munir.

Rais yang juga bekas menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan berkata, terdapat lebih 480 perkataan “Yang di-Pertuan Agong” dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini menggambarkan peranan institusi beraja adalah sangat penting dalam pentadbiran negara.

Sementara itu, Shamrahayu berkata, rakyat perlulah faham tentang kepentingan dan mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh institusi raja dalam memartabatkan negara sejak dulu lagi.

“Jika bukan kerana kebijaksanaan dan keberanian Raja-Raja suatu ketika dahulu, Tanah Melayu sudah direpublikkan. Tetapi kerana jasa Raja-Raja, orang bukan Melayu juga mendapat status kewarganegaraan.

“Jika tiada raja, mana masa depan peradaban kita, apa nasib agama dan bangsa kita?” katanya.

Sehubungan itu, dalam situasi pasca PRU14, beliau menasihati masyarakat untuk tidak taksub dengan politik kepartian sehingga memberi tekanan kepada institusi beraja.

Asyraf pula mencadangkan supaya lebih banyak program dibuat bagi mendekatkan institusi beraja dengan rakyat.

Dengan cara ini rakyat akan lebih memahami peranan institusi beraja dan prosedur yang perlu diambil oleh pihak istana dalam membuat sesuatu keputusan yang besar seperti pelantikan perdana menteri dan peguam negara, katanya. - Bernama