SHAH ALAM – Bagi mengembangkan pembangunan al-Quran di peringkat dunia, Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) dan 7 Sanaabil International mengambil inisiatif memperkenalkan Projek Wakaf Quran Dunia kepada masyarakat.

Presiden 7 Sanaabil International, Ya’kob Wan Harun berkata, projek wakaf itu dilaksanakan dalam dua bentuk, di mana setiap mashaf yang dibeli akan diwakafkan dan pihaknya akan memainkan peranan menyebarkannya untuk disampaikan ke seluruh dunia.

“Selain itu, semua perolehan daripada projek wakaf ini akan diperuntukkan bagi pelan amal yang telah diputuskan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menerangkan lebih lanjut mengenai projek tersebut, Ya’kob berkata, ia akan diuruskan oleh syarikat Huda Al-Quran Resources iaitu salah sebuah anak syarikat kumpulan 7 Sanaabil International.

Beliau berkata, keuntungan yang diperoleh menerusi inisiatif itu akan digunakan bagi membangunkan projek-projek berkaitan Pelan Pembangunan Amal Quran Dunia.

“Al-Quran yang dibeli dan diwakafkan oleh ramai pihak akan digerakkan serta diagihkan sebaiknya ke seluruh pelosok dunia, sejajar dengan hasrat pihak kami.

“Projek ini berbeza dengan kebanyakan projek wakaf lain dan ia peluang yang perlu direbut oleh semua pihak kerana usaha ini akan menjadi penyuluh untuk jalan akhirat buat semua,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha membangunkan Pusat Khidmat Quran dunia di tujuh negara, namun buat fasa pertama ini, empat negara akan menjadi tumpuan terlebih dahulu iaitu Malaysia, Indonesia, Rusia dan Eropah.

Menurutnya, Pusat Khidmat Quran itu, khusus di Malaysia bakal menjadi induk kepada pusat-pusat lain yang terdapat di dunia.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Projek Wakaf Quran Dunia dan Pra Pelancaran Projek bersama 7 Sanaabil International yang diadakan di Wangsa Maju.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kawasan Keramat, Kuala Lumpur dipilih sebagai program perintis dinamakan Keramat Lab, yang inisiatifnya digerakkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membina keluarga berlandaskan al-Quran.
  • KUALA LUMPUR - Projek pembinaan pusat percetakan al-Quran ‘Kompleks Nasyrul Quran’ di Putrajaya dijangka siap sepenuhnya untuk beroperasi pada 31 Dis ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersedia membantu melupuskan al-Quran dan kitab suci yang rosak ditenggelami banjir di Pulau Pinang, melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) secara percuma bagi membantu negeri itu yang kini ditimpa musibah berkenaan sejak minggu lalu.
  • SHAH ALAM - Tinggal beberapa jam dari sekarang akan berlangsungnya sesi interaksi bersama al-Quran World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang diadakan bukan sahaja di Malaysia, malah lebih 50 negara di seluruh dunia.
  • SHAH ALAM - “Al-Quran boleh menyatukan orang Melayu dan Islam hari ini,” demikian kata Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Datuk Abdul Halim Ali.