PUTRAJAYA - Kerajaan merancang memperkenal peraturan baharu bagi memudahkan urusan pembangunan semula kawasan perumahan awam berusia lebih 25 tahun serta melindungi hak penduduk asalnya, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

"Selain menjamin hak penduduk asal, peraturan itu juga membolehkan kawasan dibangunkan tanpa halangan serta pembangunannya akan menjadi lebih tersusun dan sistematik berbanding projek perumahan awam sedia ada.

"Peraturan ini penting bagi mengelak kejadian pihak tertentu menghasut penduduk asal menghalang pembangunan semula kawasan mereka,” katanya pada sidang media selepas menutup Konvensyen Perbandaran Negara 2018 di Pusat  Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menjadikan Residensi Kerinchi sebagai contoh, Noh berkata pembangunan semula tapak rumah pangsa Kampung Kerinchi dengan konsep kediaman moden bersepadu setinggi 18 tingkat itu membuka mata banyak pihak walaupun pada awalnya ditentang segelintir penduduk akibat dihasut pihak tertentu atas kepentingan politik.

Katanya projek kendalian Kementerian Wilayah Persekutuan yang siap sepenuhnya pada Oktober 2016 itu ternyata membawa faedah khususnya penduduk asal yang diberikan keutamaan menduduki perumahan tersebut.

"Kita tidak mahu jadi seperti projek Datum Jelatek yang dibuat kerajaan Selangor di mana mereka merobohkan rumah lama dengan menggantikannya dengan kondominium cantik tetapi pada akhirnya penduduk asal tidak hanya diberi pampasan, malah tidak mampu membeli rumah tersebut kerana satu unit berkeluasan 600 kaki persegi dijual pada harga RM500,000 ke atas," katanya.

Noh berkata peraturan baharu itu dipertimbang untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada kandungan dalam Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara yang sedang digubal.

Pembangunan semula terhadap perumahan awam yang uzur wajar dilakukan kerana ciri-ciri baharu seperti ruang bilik lebih banyak, kemudahan parkir mencukupi serta kawasan rekreasi perlu diwujudkan seiring dengan perubahan semasa, katanya.

Mengenai konvensyen tersebut, Noh berkata sebanyak 79 resolusi dan 29 strategi terhasil menerusi lapan bengkel diadakan yang kesemuanya menjurus kepada memantapkan kesejahteraan rakyat di kawasan bandar.

Resolusi itu akan dibawa untuk perhatian Kabinet selain akan turut dibincangkan pada Forum Bandar Dunia yang akan berlangsung di ibu negara bulan depan, katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :