AYER KEROH - Penganjuran Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (Maccops) 2015 dilihat tepat pada masanya dalam membantu produk dan perkhidmatan koperasi yang terbabit melebarkan sayap mereka.

Berikutan kejayaan pertama Maccops yang diadakan tahun lalu di Shah Alam, Selangor, penganjurannya kali ini diyakini akan membuka lembaran baharu kepada pengusaha produk dan perkhidmatan yang mengambil bahagian.

Menurut Pengerusi Sektor Pemborongan dan Peruncitan yang juga Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Datuk Kamarudin Ismail, penganjuran Maccops 2015 adalah selari dengan hasrat Angkasa memperkasa produk koperasi, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di pentas antarabangsa.

Menurutnya, karnival empat hari itu boleh memainkan peranan sebagai platform berkesan dalam usaha mengetengahkan produk dan perkhidmatan ahli koperasi kepada masyarakat umum, dan pada masa sama, membantu usaha pemasaran produk dan perkhidmatan berkenaan.

“Menerusi karnival ini, orang ramai akan dapat saksikan sendiri bagaimana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan ahli koperasi adalah sama hebat dengan produk keluaran Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan yang lain,” katanya.

Malah menurut Kamarudin, Maccops 2015 akan menjadi platform untuk Angkasa mengetengahkan 100 produk koperasi, yang dikenali sebagai ‘product champion’, yang telah dijenamakan semula dengan kerjasama Angkasa dan Sirim Bhd.

“Produk-produk ini adalah menepati standard piawaian yang ditetapkan dan bersedia untuk dipasarkan ke pasaran dalam negeri dan antarabangsa,” katanya.

Maccops 2015 bukan sekadar berperanan menjadi platform mempromosi dan memasarkan produk serta perkhidmatan ahli koperasi, malah apa yang lebih penting adalah ia turut menjadi arena untuk pemadanan perniagaan.

Pemadanan perniagaan sebegini dilihat merupakan satu langkah yang paling berkesan dalam usaha memperluaskan jaringan kerjasama serta pemasaran, terutama di peringkat antarabangsa.

Selain mengukuhkan jaringan kerjasama dan pemadanan perniagaan antara koperasi, karnival ini turut mampu meningkatkan pendapatan koperasi menerusi jualan terus dan kontrak perjanjian.

Kamarudin berkata, pembabitan pempamer dari luar negara, termasuk Brunei, Indonesia, Thailand dan Kemboja, diyakini mampu membuka ruang untuk usaha pemadanan perniagaan ini dijalankan, sekali gus membantu meluaskan jaringan kerjasama dan pemasaran produk dan perkhidmatan ahli koperasi.

Selain itu, katanya, kunjungan orang ramai semasa karnival berkenaan juga akan dapat membantu merangsang promosi tidak langsung produk dan perkhidmatan kepada masyarakat secara umumnya.

“Apabila adanya padanan perniagaan dan promosi sebegini, apa yang kita harapkan adalah wujudnya tindakan susulan dari segi jualan selepas itu.

“Harapan Angkasa adalah kita mahu supaya Maccops menjadi ‘benchmark’ kepada kualiti pembangunan produk dan perkhidmatan koperasi di Malaysia dan pada masa sama, secara tidak langsung dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap gerakan koperasi ke arah lebih positif dan terbuka,” katanya.

Pemilihan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebagai venue Maccops 2015 dilihat sebagai tepat memandangkan Melaka merupakan sebuah negeri yang sering menerima kunjungan pelawat yang ramai.

Malah, Angkasa menjangkakan bahawa jumlah pengunjung ke karnival kali ini akan menerima jumlah pengunjung yang lebih ramai berikutan lokasinya yang amat strategik.

“Sebagai daya tarikan, kita juga akan mengadakan pelbagai program dan aktiviti sampingan, termasuk persembahan artis semasa karnival ini dijalankan,” katanya.

Antara artis-artis tempatan ternama yang dijangka akan turut terlibat termasuklah Man Kidal, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Dayang Nurfaizah, Raihan dan Ifa Raziah.

Maccops 2015 yang dirasmikan pembukaannya Khamis lalu, akan dirasmikan penutupnya oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron, esok.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.