KUCHING – Kerajaan Persekutuan dan Konsortum BBK Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian bagi melaksanakan Skim Transformasi Bas Henti-henti (SBTS) di Kuching dan Kota Samarahan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan persekutuan sementara Konsortium BBK Sdn Bhd diwakili pengerusinya William Chai sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Pada majlis berkenaan, Ali turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Sarawak yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Gani, bagi menyelaras dan memantau  program berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Muda Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil dan Menteri Muda Jalan Pesisir Pantai Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Program SBTS diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Aku janji Kerajaan Persekutuan yang melibatkan lima kawasan, iaitu Kangar, Seremban, Ipoh, Kuching dan Kuala Terengganu.

Menurut Nancy, inisiatif ini dilaksanakan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan awam yang efisien dengan kadar yang munasabah kepada rakyat dan diterajui oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Semenjung Malaysia, manakala pelaksanaan di Kuching diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri yang akan dilaksanakan melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (MIDT) Sarawak.

Katanya, KBBK yang dilantik sebagai operator rangkaian bagi melaksanakan Program SBTS di negeri Sarawak terdiri daripada gabungan lima pengusaha penyedia bas penumpang utama di Kuching, iaitu City Public Link Bus Services Sdn Bhd, Sarawak Transport Company Sdn Bhd, Bau Transport Company Sdn Bhd, Petra Jaya Transport (Sarawak) dan Biaramas Express Sdn Bhd.

Beliau berkata tempoh pelaksanaan program adalah selama lima tahun dengan anggaran kos berjumlah RM240,908, 615.40 atau RM48.18 juta setahun meliputi 27 laluan utama di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Majlis Perbandaran Padawan dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan.

Katanya, sejumlah 130 buah bas baharu yang mempunyai ciri-ciria mesra Orang Kurang Upaya (OKU), mesin tiket elektronik (ETM), berserta GPS dan kamera litar tertutup (CCTV) akan disediakan agar dapat digunakan secara  menyeluruh dan efisien serta memberikan keselesaan kepada pengguna perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya di kawasan Kuching.

Menurut Nancy, kemudahan ini dijangka dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh setahun akan datang. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :