KUALA LUMPUR – Perjanjian no cure, no fee atau 'jumpa baru bayar' pendekatan sesuai dalam menyambung semula misi pencarian pesawat MH370 yang hilang pada Mac 2014, menurut pakar penerbangan.

Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, perjanjian ditandatangani antara Malaysia dan syarikat penerokaan  dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited untuk memulakan misi pencarian baharu di selatan Lautan Hindi itu akan menjamin kerajaan mendapat perjanjian adil dari segi bayaran kewangan.

“Tiada guna bayar perkhidmatan tidak datangkan apa-apa hasil. Oleh itu, buat pembayaran selepas dapat hasilnya adalah  pendekatan optimum untuk kurangkan atau elak kerugian modal,” katanya, semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai  mengumumkan di bawah perjanjian itu, usaha menjejaki MH370 akan bermula pertengahan Januari menggunakan kapal Seabed Constructor membabitkan kawasan seluas 25,000 km persegi dalam tempoh 90 hari.

Keutamaan misi kapal itu adalah untuk mengenal pasti lokasi bangkai pesawat dan/atau kedua-dua rakaman penerbangan; rakaman suara kokpit (CVR) dan rakaman data penerbangan (FDR).

Mohd Harridon percaya, langkah meneruskan usaha menjejaki pesawat itu adalah inisiatif penting di pihak kerajaan dan sektor swasta, yang sekali gus dapat menyelesaikan satu daripada misteri terbesar dalam sejarah penerbangan itu.

Seorang penyelidik di sebuah syarikat penerbangan tempatan, Ahmad Maulan Bardai yang turut bersetuju dengan pendapat itu berkata, perjanjian itu berkait rapat  aspek undang-undang.

Beliau berkata, sepatutnya tiada lagi pencarian rasmi dilakukan pihak kerajaan berikutan penyiasatan rasmi merumuskan 'pesawat itu hilang'.

“Selain itu, kerajaan tidak boleh lagi beri komitmen dari segi kewangan untuk sesuatu  tidak pasti. Lagipun, usaha pencarian dan pembiayaan ini sudah jadi  amalan dalam industri perkapalan,” katanya.

Ahmad Maulan berkata, keputusan dibuat menteri patut dipuji demi masa depan industri penerbangan global.

Beliau berkata, terdapat banyak soalan belum terjawab yang mungkin memberikan implikasi besar terhadap reka bentuk,  penyelenggaraan, prosedur operasi dan amalan syarikat penerbangan dan lapangan terbang untuk memastikan keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal.

“Ini tidak termasuk  keperluan menyelesaikan kebimbangan ahli keluarga penumpang dan anak kapal terlibat,” katanya. - Bernama