KUALA LUMPUR - Potensi ekonomi digital – pertumbuhan potensi dan penyalahgunaan – meningkat dengan ketara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata, angka dikeluarkan oleh syarikat penyelidikan pasaran, Ipsos, dan Pusat Inovasi Tadbir Urus Antarabangsa yang menunjukkan penurunan kepercayaan dalam talian membimbangkan.

“Bagi kita semua yang berminat untuk memanfaatkan ekonomi digital bagi pertumbuhan, trend ini perlu ditangani segera.

“Tanpa kepercayaan dalam talian, vendor akan mendapati pelanggan berkurangan di platform e-dagang, guru ragu-ragu untuk membenarkan pelajar mengakses kandungan pendidikan dalam talian dan rakyat enggan menyumbang pandangan dan pendapat mereka untuk perbincangan di Internet,” katanya.

Jailani berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Ekonomi Digital dan e-Dagang Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli), di sini baru-baru ini.

Sementara itu, katanya, pihak berkepentingan ekonomi digital perlu menggalakkan dasar perlindungan data yang lebih baik untuk memaksimumkan manfaat ekonomi digital.

“Bagaimanapun, konsensus adalah perlindungan data, di peringkat global, tidak begitu menggalakkan. Malah, banyak negara sedang membangun masih kekurangan rangka kerja undang-undang yang asas untuk mendapatkan perlindungan data dan privasi,” katanya kepada Bernama di luar acara tersebut.

Global Cyberlaw Tracker Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan mendapati pada 2015, lebih separuh daripada semua negara mempunyai undang-undang sedemikian dan ia sering kurang dilaksanakan, kata Jailani.

“Malaysia memulakan era digital dengan pengenalan Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya pada 1996 dan memperkenalkan undang-undang siber yang penting, seperti undang-undang telekomunikasi dan penyiaran berpusat, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Tandatangan Digital 1997,” katanya.

Jailani berkata, asas undang-undang yang kukuh menjadi pemboleh utama kepada banyak kisah kejayaan digital.  

Bagi sektor kewangan, katanya, Bank Negara Malaysia mencatatkan pelanggan perbankan dalam talian yang aktif meningkat daripada empat juta pada 2011 kepada 11 juta pada 2016, manakala pemindahan kredit telah mengatasi cek buat kali pertama pada 2015.

“Dalam sektor kerajaan, kutipan hasil meningkat melalui sistem e-Filing oleh  Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Satu lagi inisiatif pembawa perubahan yang berpotensi adalah oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia melalui Perkhidmatan Salinan Dokumen Disahkan Benar Secara Digital.

“Bagaimanapun, masalah yang berpotensi lebih besar daripada perspektif perdagangan global adalah pendekatan pengawalseliaan yang tidak sekata di seluruh negara berikutan data bergerak melalui rangkaian tanpa sempadan, di mana pengguna dan perniagaan tidak dapat memastikan perlindungan data dan hak privasi sentiasa dijamin.

“Ia menunjukkan peluang yang terlepas bagi perdagangan jika syarikat di negara-negara yang mempunyai rejim perlindungan data yang lemah tidak dapat mengeksport ke negara-negara yang mempunyai rejim perlindungan data yang ketat,” katanya.

Jailani berkata Malaysia telah mencapai kemajuan dalam bidang ini dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Ia juga penting bahawa pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor dan tahap terlibat dalam dialog untuk mengemaskini dan meminda akta itu sejajar dengan pembangunan urus niaga dalam talian dan merentas sempadan,” katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.