SHAH ALAM - GST tidak dinafikan memberi hasil baik kepada kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara, namun sekiranya kadar dikurangkan kepada dua hingga empat peratus, itu adalah yang terbaik.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, ketika pelaksanaan GST sebanyak enam peratus, masyarakat terkejut dan terkesan terhadap pendapatan mereka.

"Mereka terpaksa belanjakan enam peratus hanya untuk GST, pendapatan masyarakat bandar atau luar bandar mengecut pada jumlah tersebut.

"Mereka ambil masa agak lama untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan kebanyakan  barangan dan perkhidmatan. Lebih memburukkan keadaan, ada segelintir peniaga sewenang-wenangnya menaikkan harga dengan alasan GST," katanya.

Menurutnya, kuasa beli akan meningkat jika berlaku penurunan kerana  pendapatan isi rumah kembali meningkat.

"Lebihan pendapatan dapat dibelanjakan untuk beli barang dan perkhidmatan. Ini akan meningkatkan jumlah permintaan dan penawaran terhadap barang dan perkhidmatan.

"Kenaikan permintaan dan penawaran pula mewujudkan persekitaran positif, yang akhirnya akan menyumbang kepada kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Bagaimanapun katanya, pengurangan kadar GST akan menyebabkan hasil kerajaan menyusut sehingga berbilion ringgit.

"Ia akan menjejaskan beberapa sektor dan juga bajet akan datang, khususnya untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara.

"Bagaimanapun, ia boleh ditampung jika beberapa cukai dinaikkan termasuk cukai pendapatan, cukai perniagaan atau cukai lain," katanya.

Mohd Faisol berkata, GST yang dilaksanakan pada 2015, bukanlah dilakukan secara membuta tuli tanpa kajian dan rujukan.

Justeru, menurutnya pemansuhan secara terus akan beri kesan kepada dua kelompok iaitu kerajaan dan sektor utama negara.

"Pemansuhan GST secara terus beri kesan ketara kepada ekonomi berbanding pengurangan kadar cukai itu.

"Ia akan merencatkan pertumbuhan pembangunan negara dan kelembapan kitaran ekonomi yang akhirnya menyebabkan peluang pekerjaan berkurang, ketirisan bayaran cukai, harga barangan tidak turun dan sebagainya," katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 akan dipinda bagi membolehkan kerajaan mengutip berilion ringgit cukai daripada syarikat asing yang beroperasi di Malaysia di bawah ekonomi digitial.
  • SHAH ALAM - Cadangan supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan atau kadarnya dikurangkan antara yang dikemukakan rakyat negara ini menerusi laman sesawang https://bajet2018.najibrazak.com.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang diperkenalkan sejak 1 April 2015, bagi menjadikan sistem percukaian itu lebih efisien, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.
  • KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dakwaan pembangkang kononnya cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan di Malaysia berpunca kegagalan urus tadbir kerajaan dan masalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah satu penipuan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.