SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pengecualian cukai selama tiga bulan dari Jun hingga Ogos 2018 menyebabkan negara kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya RM15 bilion.

Katanya, terdapat juga  pengurangan tambahan pendapatan negara sekurang-kurangnya RM8 bilion bagi bulan September dan Disember tahun ini.

Menurutnya, dengan menghentikan secara pra-matang cukai barang dan perkhidmatan (GST), kerajaan baharu mudah terdedah kepada tuntutan cukai input GST sebanyak RM8 bilion bagi yang dikutip pada April dan Mei.

"Dengan kata lain kerajaan perlu membayarnya kerana peniaga kini boleh menuntut kesemua cukai input. Itu melibatkan kehilangan sekurang-kurangnya RM31 bilion bagi tahun ini sahaja.

"Jumlah itu mungkin lebih tinggi bagi beberapa bulan pertama kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di mana sasaran kutipan mungkin lebih rendah kerana pengguna sudah membeli barangan mewah seperti kereta dan barangan mahal lain ketika pengecualian cukai dan sebelum pelaksanaan SST," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyindir beliau tidak tahu membaca jawapan berkaitan isu cukai input GST.

Sebelum ini, Guan Eng mendedahkan kerajaan terdahulu gagal membayar tuntutan cukai input GST di mana sehingga 31 Mei 2018 tuntutan terkumpul sebanyak RM19.4 bilion.

Menurutnya ketika itu sebanyak RM1.486 bilion tersedia dalam tabung bayaran balik dan kekurangan RM19.248 bilion.

[ARTIKEL BERKIATAN: Sebenarnya bukan RM1.4 bilion tapi juta]

Najib yang juga bekas menteri kewangan menjelaskan, pemansuhan GST dan sistem penguatkuasaan kendirinya turut memberi ruang kepada tindakan lari cukai atau pengisytiharan cukai korporat lebih rendah seperti yang berlaku ketika SST sebelum ini.

"Ini adalah sebab sebenar mengapa banyak janji manifesto PH kekal tidak ditunaikan dan mengapa program bantuan kepada golongan memerlukan akan dipotong manakala kenaikan gaji kakitangan awam dibekukan dan bukanlah kerana tuduhan ciptaan PH kononnya hutang negara adalah RM1 trilion atau BN merompak RM19 bilion dari dana tuntutan GST.

"Berikutan cara pengurusan ekonomi yang tersasar kerajaan baharu ini, mereka kini menuding jari ke arah kerajaan BN," katanya.

Jelasnya, Gua Eng secara peribadi sepatutnya membuat laporan polis dengan menyatakan BN telah merompak dana cukai input GST sebanyak RM19 bilion.

"Di sebalik tuduhan dibuat di Parlimen di mana mereka mempunyai kekebalan atau imuniti kononnya BN merompak RM19 bilion dari dana tuntutan GST, Guan Eng sepatutnya secara peribadi membuat laporan polis dengan menyatakan secara jelas BN telah merompak dana cukai input GST sebanyak RM19 bilion.

"Rakyat kini perlu bersedia untuk pelbagai cukai baharu lain dari PH berikutan pemansuhan GST dan negara tidak lagi berupaya mengutip cukai dari ekonomi tidak sah dan daripada mereka yang lari cukai," katanya.