SHAH ALAM - Pengiring atau marshall tidak mempunyai kuasa memberi arahan kepada pengguna jalan raya termasuk memberi laluan, lencong dan menghentikan kenderaan.

Menurut Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), semua pengiring tidak dibenarkan sama sekali mengawal lalu lintas sesuka hati mereka.

Kenyataan itu menyebut, penggunaan pengiring dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa jua program mestilah dihadiri oleh polis trafik.

“Orang awam atau pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah pengiring/marshall ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi.

“Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas trafik tanpa anggota trafik boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan tugas pengiring/marshall hanyalah untuk pengurusan peserta konvoi supaya mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Sementara itu, kenyataan atau info terbabit yang dimuat naik hari ini mendapat 4,100 perkongsian dan 526 komen daripada netizen yang terdiri daripada reaksi positif dan negatif.