KOTA KINABALU - Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara baharu merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmennya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi integriti perlembagaan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata pelantikan itu sangat bertepatan, sekali gus menunjukkan komitmen ketua hakim yang baharu untuk berkhidmat kepada rakyat dan sistem mahkamah dengan adil berdasarkan perlembagaan.

“Saya mewakili seluruh rakyat di Tuaran mengucapkan tahniah kepada beliau (Malanjum) atas pelantikan itu dan kita sangat berbangga dengan pelantikan berkenaan.

“Kita berharap beliau dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua hakim dengan penuh bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malanjum, 65, berasal dari Tuaran, Sabah menjadi orang pertama dari negeri-negeri Borneo menyandang jawatan tertinggi itu dalam bidang kehakiman.

Beliau dilantik ke jawatan itu selepas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif mengemukakan surat peletakan jawatannya yang berkuatkuasa pada 31 Julai ini. - Bernama