KUALA LUMPUR - Anggota keluarga dan kenalan yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay boleh berbuat demikian bermula 7 malam esok di alamat No 2 Lorong Buloh Perindu 1, Damansara Heights, di sini.

Pengasas Kumpulan YTL itu meninggal dunia hari ini pada usia 88 tahun.

“Kami sangat sedih dengan kehilangan ketua keluarga kami, Tan Sri Dr Yeoh Tioang Lay, tetapi akur bahawa mendiang kembali ke pangkuan pencipta.

“Kami adalah generasi keempat yang mempunyai keistimewaan merasai kehadirannya selama 88 tahun dan mendiang akan benar-benar dirindui,” kata YTL Corporation Bhd dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, perhimpunan bagi anggota keluarga dan kenalan itu juga diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu jam 8.30 malam dan pengebumian akan diadakan pada Ahad (22 Oktober) bermula 10 pagi.

Perarakan jenazah ke Nilai Memorial Park pada 12  tengah hari.

Hasil perkahwinan Yeoh Tiong Lay dengan Puan Sri Tan Kai Yong, mereka dikurniakan tujuh orang anak, iaitu Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping, Datuk Yeoh Soo Min, Datuk Dr Victor Yeoh Seok Kian, Datuk Yeoh Seok Hong, Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong, Datuk Yeoh Soo Keng, Datuk Mark Yeoh Seok Kah, serta mempunyai 27 cucu dan lima cicit.

YTL Corp merupakan antara 30 syarikat terbesar disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, membentuk antara syarikat komponen FTSE Bursa Malaysia KLCI, indeks penanda aras utama bursa.- Bernama


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.