KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkuat kuasa 30 Jun lepas menyifatkan peralihan kepimpinan dilaksanakan secara teratur, walaupun mendapat notis yang amat singkat.

“Kami mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah khas PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan Sime Darby Property pada 29 Jun, 2018, dan ini membolehkan pengumuman pelantikan Pengerusi PNB yang baharu dibuat serentak dengan persaraan saya,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, di sini, hari ini.

Sebelum ini, PNB mengumumkan persaraan Abdul Wahid serentak dengan pelantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Kumpulan PNB yang baharu berkuat kuasa 1 Julai, 2018.

“Pelantikan pengerusi yang baharu adalah amat penting untuk mengelakkan ketidaktentuan dan untuk membolehkan operasi dan urusan perniagaan organisasi seperti PNB berjalan lancar,” kata Abdul Wahid.

Mengulas lanjut beliau berkata berkata tiada sebab mengapa pelantikan pengerusi atau ketua pegawai eksekutif  yang baharu tidak boleh diumumkan serentak dengan pengumuman persaraan atau perletakan jawatan.

Beliau berharap organisasi lain yang bakal menghadapi pertukaran pengerusi  atau ketua pegawai eksekutif dapat melaksanakan perkara yang sama.

“Elakkan kedudukan di mana ada institusi negara yang penting ketika ini tidak mempunyai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, kerana ia berisiko tinggi terutamanya untuk institusi yang menguruskan wang rakyat dan bukan suatu amalan urus tadbir yang baik,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pejabatnya telah dikosongkan secara fizikal pada 29 Jun lepas, dibantu kakitangan pejabat pengerusi dan rakan-rakan PNB.

Mengenai perancangan kerjaya selepas ini, Abdul Wahid berkata beliau belum sempat memikirkan hal itu memandangkan persaraannya itu secara mengejut, namun seperti  kelaziman, beliau mengakui sentiasa fokus kepada tugas semasa.

“Izinkan saya buat masa ini meluangkan lebih masa bersama keluarga dan mengembara sedikit sebelum memikirkan kerjaya seterusnya,” katanya. - Bernama