SERDANG - Pengeluaran sektor perikanan negara dijangka terus mencatatkan peningkatan pada tahun ini setelah meningkat sebanyak 2.8 peratus pada 2017 menjadi 1.93 juta tan metrik dengan nilaian RM14.1 bilion  berbanding 2016, kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Beliau berkata, peningkatan yang diramalkan untuk tahun ini adalah berdasarkan data yang diterima bagi suku tahun pertama 2018.

"Untuk suku tahun pertama 2018 pengeluaran sektor perikanan negara meningkat sebanyak 1.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2017. Peningkatan berkenaan disumbangkan oleh aktiviti akuakultur dan tangkapan," katanya kepada pemberita pada hari pertama Persidangan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perikanan Malaysia 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Munir menambah salah satu fokus persidangan kali ini ialah menarik golongan muda untuk melibatkan diri dalam sektor perikanan negara dengan menyebarkan pelbagai maklumat mengenai industri dan menyediakan pusat latihan.

"Pada masa ini penglibatan belia dalam sektor perikanan agak berkurangan terutamanya perikanan laut dalam," katanya lagi. - Bernama