KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agenda pengangkutan darat negara bukan hanya tentang projek infrastruktur mega, oleh kerana, yang lebih penting adalah laluan ke arah peningkatan produktiviti dan keadaan hidup yang lebih baik bagi rakyat Malaysia.

Perdana menteri menegaskan dalam jangka panjang, sebuah rangkaian pengangkutan awam darat yang boleh dipercayai, bersepadu dan moden akan memacu pertumbuhan sosio ekonomi serta mempertingkatkan kualiti alam sekitar, kesemuanya amat penting bagi kelestarian pembangunan Malaysia.

"Ini merupakan sebab kami menjadikan transformasi pengangkutan awam sebagai agenda utama dalam perjalanan Program Transformasi Nasional (NTP)," katanya ketika berucap pada Simposium Pengangkutan Awam Darat di sini hari ini.

Memberi contoh kejayaan MRT Laluan 1 Sungai  Buloh-Kajang, Najib berkata rakyat dapat melihat bagaimana pengangkutan awam darat boleh menjadi pencetus perubahan sebenar dalam mengubah gaya hidup rakyat Malaysia dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi laluan kepada mobiliti hijau serta pengurangan pelepasan karbon di Greater Kuala Lumpur.

Beliau berkata projek MRT, bermula daripada konsepsi sehingga kepada penyampaian, adalah suatu keutamaan kepada beliau, dan merupakan projek yang beliau sendiri selia setiap peringkat kemajuannya.

"Selain daripada hasrat melihat rakyat lebih mudah berulang-alik di bandar raya, saya juga tidak mahu Kuala Lumpur terkenal  di peringkat antarabangsa hanya disebabkan masalah lalu lintas berbanding perkara lain, seperti yang berlaku di beberapa bandar raya lain di rantau ini, Kami memerlukan penyelesaian terbaik untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas menuju ke pusat bandar raya.

"Alhamdulillah, keputusan dan penerimaan MRT Laluan 1 amat memberangsangkan. Kejayaan menyiapkan MRT Laluan 1 membuktikan bahawa kita berupaya menyiapkan satu daripada projek infrastruktur transit aliran massa paling canggih dalam sejarah negara ini,” kata Najib.

Sambil menegaskan bahawa projek itu siap mendahului jadual dengan kos RM2 bilion di bawah anggaran, beliau  berkata ini adalah, berdasarkan mana-mana piawaian, merupakan pencapaian cemerlang bagi sesebuah negara.

"Satu daripada faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini adalah kerja keras beribu-ribu orang rakyat Malaysia yang diambil bekerja untuk projek ini dan berjaya menjadikannya suatu kenyataan,” kata perdana menteri.

Beliau berkata kerajaan sedang menimbang untuk mempercepatkan cadangan projek MRT Laluan 3 meliputi kawasan seperti Bandar Malaysia, Mont Kiara, Sentul, Midvalley dan Setiawangsa.

Najib menyatakan maklumat terkini berhubung inisiatif pengangkutan lain yang dilaksanakan pentadbiran beliau, meliputi perkhidmatan kereta api, bas, teksi dan sebagainya.

Beliau turut menyentuh tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang semestinya menjana faedah ekonomi bagi kedua-dua negara di samping Projek Landasan Keretapi  Pantai Timur (ECRL) yang akan menyerlahkan potensi wilayah kurang membangun di pantai timur Semenanjung  Malaysia, yang selama ini kurang diketahui.

"Menjelang 2027, apabila ECRL,  HSR KL-Singapura, Sistem Aliran Deras Johor  Bahru-Woodlands (Utara) dan laluan landasan bandar lain disiapkan, perbatuan landasan di seluruh negara akan menghampiri jarak 3,000km, iaitu 65 peratus melebihi rangkaian landasan sekarang, yang merupakan penambahan infrastruktur yang sangat besar," katanya.

Najib selanjutnya berkata sejak 2012, kerajaan telah melabur RM766 juta di bawah Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) bagi memastikan penduduk di sepanjang laluan sosial ini terus menikmati kemudahan perkhidmatan bas.

Sebagai tambahan, kerajaan melabur RM143 juta bagi pengoperasian perkhidmatan myBAS oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Kangar sejak Ogos 2015; di Seremban sejak Januari 2016; dan di Ipoh sejak Jun 2016.

Sehingga kini, myBAS merekodkan lebih 8.4 juta penumpang  (atau purata 324,000 penumpang sebulan di tiga ibu negeri ini).

Najib berkata dalam dekad akan datang, sektor pengangkutan awam darat akan terus memacu pengwujudan kira-kira 100,000 pekerjaan teknikal dan kemahiran tinggi dengan peluang dalam projek yang rumit serta canggih seperti HSR Kuala Lumpur-Singapura dan ECRL.

"Jika kita lakukan dengan betul, kita mungkin berupaya mengeksport kepakaran Malaysia yang berkualiti dan bernilai tinggi untuk membantu membina projek infrastruktur mega di negara lain yang memerlukan input pakar.

"Kesemua ini adalah faedah tambah yang kita dapat peroleh sambil kita terus membina projek untuk rakyat dan melabur dalam memperkukuhkan modal insan kita,” kata perdana menteri.

Najib berkata di sebalik pelbagai kejayaan itu, "tugas kami jauh daripada selesai".

"Kami telah menetapkan matlamat baharu di bawah plan Transformasi Nasional 2050 untuk menempatkan diri dalam 20 negara teratas menjelang tahun 2050. Pengangkutan darat adalah perkara yang mesti dalam matlamat ini.

"Sambil mara ke hadapan,  transformasi pengangkutan awam kita mesti kekal yang terkini dan sama langkah dengan kehendak penduduk bermaklumat dan mahir internet," kata Najib.

"Justeru, dalam mengimbangi semula pengangkutan untuk membentuk mobiliti yang mampan, kita harus berhati-hati dengan landskap teknologi yang pesat berubah dan tabiat serta keutamaan pengguna yang turut sentiasa berubah ketika kita merancang sebuah pengangkutan awam yang inklusif dan komprehensif," katanya. - Bernama

 

 

 

 

 

 
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Hospital swasta di negara ini mempunyai peranan sebagai pemangkin kepada usaha perpaduan nasional, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia boleh optimis dan yakin bahawa masa depan mereka dan negara ini berada dalam tangan sebuah kerajaan yang mampu membawa ke tahap yang lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • KUALA LUMPUR - Beberapa Ahli Parlimen BN hari ini menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memandang serius diskriminasi sekatan eksport minyak sawit ke negara Kesatuan Eropah (EU).
  • PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan enam anggota Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 November lalu.
  • PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean Ke-31 di Manila, Filipina dari 13 hingga 14 November ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.