PUTRAJAYA - Hampir 500 penduduk Tanjung Malim berhimpun di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri bagi membantah pengguguran Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai calon pada PRU14 ini.

Mereka yang tiba jam 10.30 pagi tadi dengan menaiki 19 bas berhimpun dengan membawa sepanduk dan melaungkan sokongan terhadap Ka Chuan.

Ketua Cawangan Umno Felda Besout, Abdul Rahim Marican berkata, pucuk pimpinan seharusnya mengambil kira pendapat akar umbi sebelum membuat keputusan.

“Kami pelbagai bangsa, Melayu Cina, India dan Orang Asli datang sukarela ke sini bagi mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbang semula Ka Chuan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang memegang kerusi berkenaan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II itu banyak membantu penduduk di situ.

“Kita minta bantuan pagi, petang dah sampai, minta petang, esok sudah sampai,” katanya.

Sementara itu,  wakil masyarakat Cina Tanjung Malim, Choo Chee Ming berkata, penduduk di daerah itu menyenangi Ka Chuan.

“Kami semua selesa dengan beliau kerana sentiasa turun padang. Kami harap nama Ka Chuan dicalonkan untuk bertanding,” katanya.

Ka Chuan digugurkan dari pencalonan kerusi tersebut diganti Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon sebagai calon BN di Parlimen Tanjung Malim.

 

 

Ka Chuan, 64, berpengalaman sebagai Adun Chenderiang selama empat penggal daripada tahun 1986 hingga 1999 dan pernah dilantik sebagai exco kerajaan negeri.

 

Pada PRU 2004, beliau bertanding di Parlimen Batu Gajah namun tewas kepada calon DAP.

 

Ka Chuan kemudiannya menang di kerusi Parlimen Tanjung Malim pada  PRU 2008 dan PRU 2013.