KUALA LUMPUR - Peningkatan pendaratan ikan atau musim ikan yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah perkara normal kerana sekarang merupakan musim ikan matang terutamanya ikan kembung.

Jabatan Perikanan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, trend pendaratan ikan lazimnya menurun pada bulan Januari hingga Mac namun meningkat mulai April pada setiap tahun.

Menurut kenyataan itu lagi, penambahan jumlah ikan di perairan Malaysia juga disebabkan pergerakan ikan itu yang masuk ke perairan negara dari Myanmar, Thailand dan Indonesia.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia, stok ikan kembung akan mula tertangkap mulai April dan ia berkait dengan musim bertelur yang mengambil masa lapan bulan untuk matang.

“Ikan kembung juga merupakan sumber yang dikongsi dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Myanmar dan ada yang bergerak masuk ke perairan Malaysia.

“Semasa bulan Julai, ikan ini didapati berada di kawasan perairan Malaysia dan menyebabkan peningkatan sumber ikan lantas memberi keuntungan kepada nelayan tempatan di Pantai Barat Semenanjung,” memetik kenyataan itu.

Dalam pada itu, jabatan tersebut turut menjangkakan peningkatan pendaratan ikan terus berlaku dan ia mengatasi rekod pada tahun 2017 mencatatkan pendaratan Kembung Pelaling sebanyak 80,200 tan metrik.

“Sejak 2003 hingga 2016, pendaratan Kembung Pelaling adalah melebihi dua kali ganda dari Kembung Borek dengan rekod tertinggi mencecah 60,000 tan metrik pada tahun 2010.

“Dengan mengambil kira aliran pendaratan yang sama, jangkaan pendaratan untuk 2018 adalah melebihi paras yang dicatatkan pada tahun lepas,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, faktor alam sekitar memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pergerakan ikan kembung dan kejayaan pembiakan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ini sebab harga ikan turun]

[ARTIKLE BERKAITAN: Udang galah 70 sen, cencaru 20 sen jadi rebutan]