KUALA LUMPUR - Pemimpin negara ini perlu mempunyai akhlak yang baik dan budiman serta tidak terlibat langsung dengan gaya hidup songsang dan luar tabii.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemimpin yang dipilih haruslah berakhlak mulia, berintegriti dan mempromosi gaya hidup fikrah semulajadi yang telah ditentukan ALLAH SWT.

“Pemimpin perlu menjadi model baik bagi rakyat yang dipimpinnya dan ia bertanggungjawab di dunia dan akhirat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN:  LGBT tidak diterima di negara ini]

Katanya, Pas menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak boleh menerima nilai-nilai hak asasi manusia diamalkan di negara-negara Barat merangkumi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta perkahwinan sejenis.

Menurut beliau, Pas juga menyambut positif ketegasan Dr Mahathir mengkritik pembentangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkenaan amalan LGBT bahawa nilai-nilai yang dipegang oleh Malaysia adalah berbeza dengan masyarakat Barat.

“Sehubungan itu, Pas dengan ini tuntas menolak sebarang cadangan atau tindakan dalam apa jua bentuk bagi mempertahankan amalan LGBT, termasuk mempertikaikan undang-undang yang bertujuan untuk mencegah dan menghukum mereka yang terlibat dengan amalan LGBT,” katanya.