WACANA Sinar Harian siri ke-40 berjudul ‘Politik Malaysia: Di Manakah Melayu?’, di Auditorium Sultan Muhammad ke V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, 29 Ogos lalu menampilkan suara dan idea serta hujah bernas pemimpin muda Melayu.

Selain Pengasas Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, barisan ahli panel lain ialah Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Shazni Munir (Amanah) dan Ketua Srikandi PKR, Senator Siti Aishah Shaik Ismail.

Sementara Wacana dikendalikan oleh Nazri Kahar dari Astro Awani.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hujah bernas pemimpin masa depan]

Adakah orang Melayu tidak terkesan dalam perubahan politik ?

SHAZNI MUNIR: Setiap tahun ada ketirisan dan ini memberi kesan langsung kepada soal ekonomi dan keadaan rakyat. Saya terkejut bila saudara Razlan menggambarkan seolah-olah rasuah ni benda yang kecil. Masalah paling besar ini sebenarnya dengan rasuah lah kita bincang pasal benda ini. Di mana Melayu sebab rasuah?

Kalau Dasar Ekonomi Baharu (DEB) itu betul-betul pelaksanaannya hari ini ia tak akan jadi 30 peratus. Sebab ketirisan, sebab ketidakjujuran pemimpin yang memegang amanah untuk mentadbir, mengurus dana ratusan bilion ini sehingga berlaku khianat, itu lah yang terjadi hari ini.

Kalau kita nak bincang soal rasuah kita kena kembali kepada hukum. Kalau kita bincangkan adakah orang Melayu sahaja yang memberi rasuah, kaum-kaum lain bagaimana?

Bagi rasuah dosa terima rasuah pun dosa. Jadi soal betul-betul orang Melayu yang berpegang soal agama, soal prinsip yang selama ini dia pegang tak akan sampai dia pergi rasuah atau terima rasuah. Cuma soal adakah soal rasuah yang satu dunia ini pandang sebagai najis yang menjahanamkan satu-satu tamadun dilihat tidak penting untuk saudara Razlan dan juga Umno yang lain?

Itu hakikat yang memang yang akan berlaku pada pilihan raya akan datang, apabila kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Umno dan kebanyakan pemimpin Melayu dan sebagainya akan ada parti-parti lain, kalau pun parti itu tidak berteraskan Melayu.  Contohnya, DAP tetapi tetap menang daripada Melayu

Saudara Zairil Khir Johari masih menang di Bukit Bendera, tiada masalah tentang soal di mana Melayu cumanya sekarang ni kita nak Melayu yang macam mana?

Kita nak terus maintain Melayu yang tak kisah mengenai rasuah? Kita nak maintain Melayu yang melihat RM2.6 bilion tu angka yang tiada apa-apa atau Melayu yang bagaimana?

Sebab itu saya rasa benda yang paling penting ialah kita kena pastikan bahawa siapa pun yang layak menjadi pemimpin sama ada Melayu atau bukan Melayu,  benda yang paling asas kita kena cari adalah soal integriti.

Amanah tertubuh sebab nak mengangkat nilai integriti sehingga ke tahap yang paling tinggi dalam sistem perundangan.

Sebab itu pihak yang pertama yang kita jumpa dengan telus berkongsi pandangan dan sebagainya adalah Institut Integriti Malaysia.

Kita menerima pandangan bagaimana mengangkat nilai integriti dalam negara sebab benda ni bukan main-main sebab rasuah negara jatuh, sebab rasuah sebuah tamadun jahanam. Sebab itu nilai integriti bila kita angkat sehingga ke tahap paling tinggi maka siapa pun yang naik sama ada pemimpin peringkat negeri, Cina ke Melayu ke India ke itu menjadi indikator, sama ada dia ingin diberi rasuah, mahu beri rasuah atau tidak terlintas di kepala (fikiran).

Masalah kita sekarang ini skrip itu dah tak ada dalam kepala otak kita. Seolah-olah tiada apa-apa orang yang beri dan menerima rasuah, tak kira sama ada jumlahnya RM2.6 bilion atau jumlahnya RM26, rasuah tetap rasuah.

Soalnya bagaimana kita memandang rasuah itu sebagai satu dosa besar yang mencarik tentang nilai soal maruah diri kita di depan ALLAH dan juga mencari nilai diri kita di hadapan manusia lain.

Bagaimana Pas menangani isu kompleks seperti melibatkan polisi pendidikan negara, isu bagaimana nak meningkatkan ekonomi negara atau mengurangkan ketirisan dalam projek-projek melibatkan kos tinggi yang memerlukan Pas memberikan pandangan kepada apa yang dibentangkan oleh Umno. Bagaimana Pas menyelesaikan perkara ini?

AHMAD FADHLI: Pemuda Pas melihat isu-isu begini akan menimbulkan satu polemik dan dalam Muktamar Pas yang lalu kita mencadangkan dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) sampai satu tahap tidak mampu untuk sediakan pinjaman kepada pelajar. Pemuda Pas buat satu usul supaya diadakan wakaf perbadanan pendidikan nasional secara rasmi dan Alhamdulillah beberapa hari lalu ada kenyataan bahawa kemungkinan perbadanan wakaf ini akan diambil serius oleh kerajaan. Ertinya dalam Pas kita ada pemikir-pemikir dan paling penting sekali adalah dalam kita memacu ekonomi negara ini, apa yang penting adalah kejujuran. Rasuah dan sebagainya perlu ditolak.

Pengisytiharan harta contohnya, Pemuda Pas menyokong langkah itu. Tidak timbul isu bila tidak isytihar orang akan tembak anak dan isteri kita. Apa yang penting kejujuran dan integriti dalam mentadbir perlu menjadi suatu topik utama.

Bila kita bercakap soal orang Melayu, kita seolah-olah sempit perspektif politik itu. Tapi apabila kita bawa wacana politik dan bangsa Malaysia yang dibawa oleh PKR, mungkin lebih luas. Sampai bila kita nak bercakap soal Melayu sedangkan orang Kadazan dan Iban ramai yang miskin, orang Murut masih ketinggalan di Sabah.

SITI AISHAH: Kalau dilihat kepada PKR itu sendiri, iaitu parti berbilang bangsa, bukan sahaja Melayu, Cina, India, Sikh dan sebagainya, tetapi termasuk Iban, Kadazan di mana meliputi masyarakat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Hari ini ada tumpuan bila kita bercakap soal Melayu. Permasalahan Melayu pada hari ini ialah walaupun orang Melayu memegang majoriti tampuk pemerintah di Malaysia tapi mereka ini ramai yang berpenyakit Melayu fobia.

Kebanyakan orang Melayu ini mempunyai penyakit Melayu fobia, sebab banyak perkara mereka dimomokkan atau ditakutkan dengan pelbagai perkara.

Bila ada segelintir manusia yang mempergunakan taraf dan mempertaruhkan bangsa itu untuk meraih perhatian mereka, kita lihat bagaimana orang Melayu di ceruk rantau di sana, bila nak buat perubahan bagi diri, keluarga dan bangsa mereka di negara ini, mereka ditakutkan.

Jangan buat perubahan, sebab nanti bila kamu buat perubahan nanti hilang hak keistimewaan Melayu... jangan buat perubahan, nanti azan tidak berkumandang lagi di surau.

Ini yang dikatakan tipikal Melayu, penyakit-penyakit yang dibawa kepada orang Melayu, sehinggakan orang Melayu itu sendiri, yang merupakan majoriti dalam negara ini, gagal membuat keputusan yang baik untuk diri mereka.

Sebab itu pada PKR, setiap kali kami turun bertemu rakyat, kita ketepikan soal Melayu. Melayu itu jadi teras kepada PKR dan kita memperjuang Melayu itu jadi nombor satu, tapi bila kita berada dalam kelompok rakyat, kita kena adil dengan rakyat yang berbilang bangsa.

Parti-parti politik tidak harus mempermainkan permasalahan Melayu dan fobia Melayu ini untuk meraih undi. (Selepas itu) baru kita dapat membina sebuah negara yang ada tamadun, kepimpinan yang pandai dan cerdik, bukan saja kita nak menang pilihan raya.

Bagaimana anda sebagai ahli politik boleh meyakinkan rakyat?

SHAZNI MUNIR: Benda yang paling asas boleh saya sebut iaitu perubahan itu satu proses. Sebab itu saya rasa pentas ini juga satu proses untuk menghala kepada pencerahan kepada perubahan.

Sebab itu saya tidak cenderung untuk menyerang rakan-rakan saya dari Pas, sebab saya tahu kalau ikut nafsu sebagai orang politik, saya boleh pertikai banyak benda tentang soal Kelantan, banjir yang tak selesai dan sebagainya.

Tetapi itu tidak akan menyelesaikan masalah sebab mereka juga ada hujah yang mereka akan pertahankan. Apa yang penting soal bagaimana rakyat harus sedar bahawa negara ini sudah sampai kepada peringkat tidak lagi boleh kembali seperti dulu.

Negara sudah sampai satu peringkat yang sangat berbahaya. Sebab apa saya cakap berbahaya, sebabnya kantung negara semakin menipis dan situasi sekarang ini tidak disedari secara empati, rakyat bahawa itu mampu membawa kepada perubahan.

Contoh pertama, GST, kedua pula adalah tentang kesusahan hidup dan sebagainya tetapi apabila polemik-polemik perkauman, polemikpolemik agama dimainkan dalam kancah politik yang mainstream jadi akhirnya rakyat yang geram dengan GST. Rakyat yang geram tentang soal periuk nasi mereka akhirnya terheret dan terherot dengan hal-hal yang sebenarnya boleh dibincangkan di medan perbincangan ilmu.

Kita tak nak Malaysia ini menjadi negara yang kacau bilau yang rakyat sampai berani keluar di jalan raya halau pemimpin, kita tak nak keadaan itu menjadi sangat radikal. Kita mahu proses ini menjadi suatu proses yang sesuai dalam konteks Malaysia dan pada sama pemimpin pun kena tahu nak letak diri mereka kat mana dan kalau terus nak berselindung, Peguam Negara bercakap sikit buang, Gabenor Bank Negara bercakap sikit hentikan, tidak sambung kontrak.

Benda-benda ni berulang-ulang, kalau lepas ni siapasiapa lagi yang cakap, kritik cara Datuk Seri Najib menguruskan dana dalam kerajaan, siapa lagi yang akan dibuang jadi kalau benda begini berterusan akhirnya rakyat bukan sekadar meluat kepada keadaan politik sekarang, saya rasa rakyat akan meluat kepada negara dia sendiri.

Itu benda yang paling teruk. Tuan-tuan tengok hari ini minggu kemerdekaan, berapa banyak yang masih mengibarkan Jalur Gemilang? Perasan tak? Saya tulis dalam satu artikel, saya sebut kerisauan saya yang paling atas ialah akhirnya perasaan meluat marah rakyat kepada pemimpin nombor satu negara mengherotkan patriotisme mereka sebagai rakyat di dalam negara yang berdaulat.

Adakah dengan kuasa Melayu sahaja Umno boleh takluk Putrajaya sampai bila-bila?

MOHD RAZLAN: Pertama BN bukan parti Melayu sahaja. Melayu bertanding dan membentuk majoriti mudah untuk mewujudkan kerajaan. Itu jelas daripada PRU11, Umno boleh menubuhkan hanya satu parti untuk memerintah negara. Tetapi kita tidak buat demikian kerana kita hormati MIC, MCA dan negara ini tidak perlu diperintah oleh satu kaum.

Kalau Pas bertanding, mahu memerintah dan menjadi dominan kepada pakatan pembangkang bertandinglah lebih kerusi.

Kalau setakat 30 atau 60 kerusi bagaimana hendak menjadi dominan. Kalau kita hendak bercerita fasal kuasa politik dan bagaimana hendak memperkasakan Bumiputera, kuasa kena dapat dulu, kemudian barulah kita boleh menceritakan bagaimana hendak mencorakkan negara.

Apakah kesimpulan yang boleh dibuat pada wacana ini?

SITI AISHAH: Orang Melayu bila bangun pagi, mereka dimomokkan dengan, jangan buat perubahan, nanti yang akan mentadbir kita oleh orang Cina. Orang Melayu dimomokkan agar tidak membuat perubahan, nanti hilang maruah bangsa.

Inilah permasalahan Melayu yang perlu kita buat ialah dengan buang dulu persoalan perkauman dan memainkan persoalan bangsa. Apabila perkara itu kerap kali diucapkan, dimainkan di bawah ini (akar umbi), jangan cakap kata persepsi, tapi balik kampung tanya makcik. Kenapa makcik tak nak buat perubahan?

Dia takut nanti orang kafir ambil alih negara kita. Ini hanya persepsi yang membahayakan Melayu yang akhirnya, bukan saja menjatuhkan parti Melayu bahkan bangsa Melayu itu sendiri.

Bangsa Melayu itu tidak ke depan kerana pemimpin Melayu itu sendiri tidak jujur kepada bangsa Melayu itu sendiri. Mereka sendiri mempergunakan bangsa mereka untuk menarik undi dan memainkan pemikiran bangsa Melayu itu agar tidak menjadi cerdik dan pandai.

Sebab itu ramai orang kata, rakyat Malaysia masih takut nak buat perubahan. Mereka ditakutkan oleh orang yang nak hilang kuasa, sebab itu dia (Umno) takut.

Soalnya, nak bentuk generasi Melayu dan meletakkan bangsa ini ke landasan politik Malaysia, kita kena ketepikan soal bangsa, soal Melayu kerana kita kena kata kepada bangsa Melayu, kalau kamu nak bangsa Melayu diangkat dan dimartabatkan sebagai bangsa yang bermanfaat di Malaysia, kamu kena tahu apa yang nak dibuat dan kena tahu apa nak dicapai.