KUALA PILAH - Pengerusi Tetap Wanita Umno, Tan Sri Napsiah Omar meninggal dunia pada usia 74 tahun di kediaman anaknya di Kuala Lumpur pada jam 5.40 petang tadi.

Allahyarhamah juga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial pada tahun 1990 bergiat aktif dalam dunia politik sejak 1972 serta bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-75 pada Sabtu ini.

Jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke Surau Tunku Muhriz Kampung Jawa Kuala Pilah dijangka tiba tengah malam ini dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Melang sebelum solat Zohor esok.

Pengerusi Parlimen Barisan Nasional Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim berkata, pemergian Allahyarhamah adalah satu kehilangan besar buat Umno khususnya di Kuala Pilah.

“Kami menerima berita yang mengejutkan ini dengan penuh sedih.

“Beliau amat disegani oleh barisan kepimpinan Umno malah jasa dan pengorbanan membangkitkan Umno suatu ketika dahulu pasti dikenang sehingga akhir hayat.

“Ketokohan beliau dan komitmen kepada parti turut diberi pengiktirafan apabila dikurniakan Anugerah Melayu Terbilang 2017 sebagai penghargaan terhadap jasanya dalam perjuangan parti dan bangsa Melayu secara keseluruhan ketika sambutan ulang tahun ke-71 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya.

Kata Ismail, semoga seluruh keluarga arwah diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan dan musibah ini.

“Saya juga mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan akan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dihubungi Sinar Harian.