SHAH ALAM - Pimpinan DAP menyifatkan kehilangan Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee sebagai satu kerugian besar bukan sahaja kepada parti tetapi kepada negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pemergian mengejut Eddie yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lewat malam tadi adalah sesuatu yang mendukacitakan.

Katanya, Eddie Ng adalah salah seorang Adun DAP dan PH yang terbaik bukan sahaja di Selangor, tetapi di negara ini.

“Mendiang adalah seorang ahli parti dan Adun yang teliti, rajin, berdedikasi dan juga seorang bapa yang penyayang.

“Sikap mendiang yang disenangi pelbagai lapisan masyarakat tak kira bangsa, agama dan latar belakang menjadi contoh kepada wakil rakyat yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adun Balakong maut kemalangan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Mendiang Eddie disayangi penduduk setempat]

Menurutnya, mendiang Eddie Ng popular dalam kalangan pengundinya, terutamanya daripada golongan pekerja di mana mendiang memperoleh 35,538 majoriti undi ataupun 78 peratus daripada jumlah keseluruhan undi dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU14. Kedua-kedua lawannya daripada BN dan Pas telah kehilangan deposit.

Beliau berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP yang pernah bekerja rapat dengannya dalam tempoh enam tahun lalu dalam pilihanraya sebelum ini amat terkesan dengan pemergiannya yang tragis.

“Mendiang Eddie Ng akan dirindui kerana kehilangannya sukar untuk dicari ganti kerana mendiang cekap dalam melaksanakan tugasnya.

“DAP telah meletakkan harapan yang tinggi kepada Eddie Ng dan mendiang adalah salah seorang pemimpin masa depan Selangor,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Eddie Ng wakil rakyat komited: Amirudin]