SHAH ALAM - Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah meminta Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang lewat diserap atau dilantik dalam perkhidmatan memaklumkan kepadanya segera.

Menerusi Twitter beliau, Saifuddin berkata, terdapat pegawai termasuk PTD dihantar ke Amerika Syarikat (AS) dan Perancis menggunakan 'penaja kerajaan' bagi ijazah pertama tetapi masih tidak diserap dalam perkhidmatan awam.

"Saya difahamkan ada pegawai (termasuk PTD) dihantar 'penaja kerajaan' ke AS dan Perancis untuk ijazah pertama, selepas lulus/pulang, penaja tak faham nak iktiraf ijazah itu, menyebabkan pegawai itu lewat diserap/dilantik dalam perkhidmatan.

"Kalau ada mangsa, hubungi Setiausaha Politik saya Nazri," katanya.

Dalam pada itu, pengguna Twitter turut meluahkan perkara yang sama dengan memberitahu ijazahnya tidak diiktiraf sedangkan tidak ada surat halangan untuk menyambung pengajiannya di Indonesia.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sampai masa kerajaan tidak taja belajar di luar negara]