KUALA LUMPUR – Projek pembinaan poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) akan dipercepatkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kabinet telah bersetuju untuk menyegerakan kedua-dua projek itu selepas beliau membentangkan laporan perkembangannya di Parlimen hari ini. 

"Alhamdulillah, kabinet telah bersetuju untuk menyegerakan pelaksanaan kedua-dua projek tersebut.

“Sesungguhnya, ia satu perkembangan yang amat melegakan, apatah lagi soal kebajikan anggota dan veteran ATM serta ahli keluarga mereka sememangnya amat dekat di hati saya, menjadi keutamaan tertinggi saya sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin turut mengingatkan semua pihak termasuk pihak kontraktor dan kepimpinan ATM untuk tidak bersikap sambil lewa dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

“Saya harap perkembangan ini memberi mesej  jelas kepada pihak-pihak berkepentingan agar dapat melaksanakan projek ini dengan baik dan berkesan,” katanya.

Pada 27 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan kerajaan akan menyediakan  pelan tindakan Perumahan Keluarga Angkatan Tentera dengan membina lebih 40,000  unit secara berfasa menjelang tahun 2030.

Najib berkata sebanyak RM40  juta  diperuntukkan untuk  menaik  taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran tentera. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membelanjakan sebanyak RM48.22 juta bagi keperluan perubatan anggotanya dari Januari hingga November lepas.
  • KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga, menunggu isyarat dan arahan daripada pucuk pimpinan dan payung negara untuk menyumbang peranan sewajarnya dalam isu Baitulmaqdis.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk membina 25,000 unit rumah mampu milik untuk anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara menjelang tahun 2030 menerusi Program Satu Anggota Satu Rumah (SaSaR).
  • KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyediakan hospital medan yang dilengkapi peralatan perubatan bagi Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya di Chittagong, Bangladesh pada bulan ini.