SHAH ALAM - Jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berhubung pembatalan sijil Amanah Iktihar Malaysia (AIM) dalam sidang Dewan Rakyat semalam, adalah berkaitan penubuhan anak-anak syarikat sahaja, bukannya penutupan operasi AIM secara keseluruhan.

Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting berkata, pihaknya secara prinsip memandang serius bahawa kerajaan akan memulakan prosedur pembatalan Sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutama dalam penubuhan anak-anak syarikat.

Beliau berkata, sebagai sebuah badan amanah persendirian yang ditubuhkan sejak September 1987, pengurusan AIM sentiasa mengambil perhatian terhadap apa juga isu melibatkan soal integriti dalam setiap aspek tadbir urus badan berkenaan.

"Bagaimanapun, AIM sentiasa terbuka dan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan untuk melaksanakan proses undang-undang sekiranya terdapat unsur meragukan dalam penubuhan anak-anak syarikat yang tidak mengikut syarat Surat Ikatan Amanah 26 April 2012 dibawah Klausa 3(C)," katanya dalam satu kenyataan.

Junaidah menegaskan, pengurusan baharu AIM ketika ini tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak sekiranya wujud amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM yang berlaku semasa pentadbiran lalu.

Pada masa sama katanya, AIM sedang berusaha menyiapkan laporan lengkap dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dalam tempoh terdekat, sekali gus memberikan ruang kepada undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana yang terlibat.

"AIM juga akan mengemukakan laporan sama untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memastikan hala tuju AIM tidak tersasar daripada matlamat asalnya membasmi kemiskinan menerusi kemudahan pembiayaan keusahawanan," katanya.

Junaidah berkata, AIM ketika ini sedang giat melaksanakan agenda utama membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat miskin dan berpendapatan rendah menerusi program pembiayaan aktiviti meningkatkan pendapatan, keusahawanan, bimbingan dan latihan di seluruh negara.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bubar AIM: Apa nasib orang miskin, soal Najib]