PUTRAJAYA - Bersih 2.0 berbesar hari menerima jemputan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemantau bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun N.49 Sungai Kandis, Selangor.

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, pihaknya menyambut baik jemputan tersebut dalam usaha menjadikan PRK ini sebagai tanda aras terbaik pilihan raya di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya SPR mencadangkan seramai 38 NGO Bersih ditempatkan di 18 saluran mengundi pada PRK berkenaan.

"Seramai dua orang akan ditempatkan di setiap 18 saluran peti undi semasa proses pilihan raya berlangsung," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai SPR di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Bagaimanapun menurutnya perkara itu masih diperingkat perbincangan dan akan diputuskan kemudian.

Beliau berkata, SPR membuat pendekatan profesional dan secara terbuka SPR dengan menemui NGO dengan menggariskan terma-terma yang akan digunakan sepanjang proses pilihanraya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bersih Yap Swee Seng berkata pihaknya sebelum itu mencadangkan seramai 109 sukarelawan ditempatkan sebagai pemantau pilihan raya berkenaan.

Selain SPR, tiga NGO lain turut dijemput sebagai pemantau termasuk Invoke, Suhakam dan Ideas.

Media sebelum ini melaporkan Bersih mengemukakan enam tuntutan kepada SPR dalam mengendalikan PRK Sungai Kandis.

Enam kategori yang dipantau adalah rasuah dan pembelian undi, penjamuan dan pemberian hadiah; bantuan dan pemberian tidak wajar kerajaan; penggunaan jentera kerajaan dalam berkempen; perbelanjaan berlebihan atau majlis mewah; intimidasi, keganasan dan gangguan; sikap berat sebelah oleh institusi awam; masalah undi awal dan undi pos; masalah daftar pemilih dan masalah ketika hari pengundian.

SPR sebelum ini menetapkan 4 Ogos 2018 sebagai hari mengundi manakala penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 21 Julai 2018 bagi hari memilih.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Tempoh berkempen yang ditetapkan bagi PRK Sungai Kandis adalah selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, 3 Ogos 2018.

Bagi urusuan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh permohonan dibuka adalah pada 9 Julai (Isnin) dan ditutup pada 21 Julai (Sabtu).

Di samping itu, bagi menjalankan PRK Sg Kandis, SPR akan menggunakan Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis: SPR buat penambahbaikan]