SANDAKAN – Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra hari ini melawat dan meninjau pengoperasian Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.

Ia bersempena lawatan rasmi baginda ke Sabah.

Pada lawatan itu, baginda dibawa ke KD Sri Sandakan di Taman Samudera Batu 5 bagi sesi taklimat dan beramah mesra dengan warga Mawilla 2.

Taklimat disampaikan oleh Panglima Mawilla 2 Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam.

Hadir sama Timbalan Panglima Mawilla 2 Kapt Zahari Samsuri, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Peter Hii Chang Lik dan Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin.

Selesai acara di sini, baginda meneruskan lawatan ke Pangkalan TLDM di KD Sri Semporna di Semporna.

Mawilla 2 pada mulanya diwujudkan di Labuan pada 1966 bagi menjaga kepentingan maritim negara di perairan Sabah, Sarawak dan Laut China Selatan.

Pada 2006, lokasi markas itu  dipindahkan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu sejajar dengan pertambahan aset dan perkembangan terkini TLDM serta peningkatan kepentingan maritim negara di perairan terbabit.

Markas ini sekali lagi dipindahkan lokasinya ke pangkalan TLDM Sandakan yang secara rasmi beroperasi bermula 17 Oktober tahun lepas. - Bernama