SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr P Ramasamy tidak perlu meletakkan syarat untuk berdebat dengan pendakwah, Dr Zakir Naik.

Pengerusi Inspirasi Muhibbah India Muslim Malaysia (IMIM), Sabarudin Abdul Rahman berkata, debat ini merupakan pentas terbaik buat Ramasamy bersemuka dengan Zakir untuknya mencari jawapan sebenar.

Jadi katanya, meletakkan syarat supaya Zakir membersihkan nama daripada segala tuduhan di mahkamah India dilihat sebagai syarat tidak masuk akal.

“Ini adalah peluang terbaik buat Ramasamy bagi membersihkan segala rasa curiganya terhadap Zakir.

“Saya boleh jamin, Ramasamy tidak pernah berjumpa dengan Zakir sebelum ini. Jadi dia perlu bersemuka dan kita lihat jawapan daripada mereka,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan agar Zakir dan Ramasamy berdebat secara terbuka bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr Maza desak Ramasamy jawab]

[ARTIKEL BERKAITAN: Ramasamy setuju debat dengan Zakir]

Zakir merupakan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013, disiasat pihak berkuasa India sebelum ini atas dakwaan pengubahan wang haram dan jenayah berkaitan keganasan.

Pihak berkuasa India mendakwa penceramah berusia 52 tahun itu membiayai keganasan dan Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) memfailkan tuduhan terhadapnya di mahkamah, minggu lalu.

Zakir didakwa di bawah Akta Kegiatan Menyalahi Undang-Undang (Pencegahan) kerana didakwa menghasut belia melakukan keganasan dan menyertai kumpulan pengganas global seperti IS.