PUTRAJAYA - Pelantikan Superintendan Shafa'aton Abu Bakar sebagai Ketua Polis Sungai Buloh merupakan detik bersejarah dalam memartabatkan kedudukan wanita.

Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin berkata, Malaysia kini menuju ke arah negara maju visi 2030, di mana kesaksamaan gender adalah penting dari segi pembangunan sosial dan ekonomi.

"Perlantikan Superintendan Shafa'aton membuktikan bahawa kaum wanita berkebolehan dan berkaliber untuk memegang amanah sebagai seorang pemimpin atasan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut berharap unit beruniform lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Imigresen dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dapat mempertingkatkan wanita sebagai pemimpin dalam kalangan mereka.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Polis Diraja Malaysia dan juga kepada Superintendan Shafa'aton," katanya.