KUALA LUMPUR – Pelantar pemandangan terbuka di Menara Kuala Lumpur masih beroperasi dan dibuka kepada orang ramai seperti biasa walaupun ibu negara kini dilanda masalah jerebu.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Datuk Rozlan Mohamed berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk menutup pelantar terbuka berkenaan ekoran keadaan jerebu yang masih terkawal.

“Keadaan jerebu di Kuala Lumpur dilaporkan masih terkawal dan kami masih membuka pelantar terbuka kepada pelawat. Jika diberi arahan ditutup kerana jerebu yang tidak terkawal, kita terpaksa menutup pelantar berkenaan kepada para pelawat.

“Setakat ini, pihak kami belum menerima sebarang arahan untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sempena acara KL Tower International Towerthon Challenge 2018 di sini hari ini.

Rozlan berkata arahan untuk menutup pelantar terbuka Menara Kuala Lumpur pernah dikeluarkan ekoran keadaan cuaca buruk dan tidak selamat untuk pelawat.

Dalam pada itu, Rozlan berkata Menara Kuala Lumpur memberi diskaun sebanyak 50 peratus kepada warganegara Malaysia sempena cuti sambutan Hari Raya Aidil Adha minggu depan.

“Sempena sambutan Aidil Adha kita membuka dan memberi diskaun 50 peratus kepada warga negara Malaysia untuk berkunjung ke Menara Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan kedua.

“Rebutlah peluang keemasan ini sebabkan kalau harga sebenar RM71 kerana diskaun 50 peratus ini adalah berbaloi. Saya harap rakyat Malaysia rebutlah peluang menaiki ke puncak Menara Kuala Lumpur serta melawat tempat-tempat menarik seperti Mini Zoo, Rumah Terbalik dan Blue Coral,” katanya.

Mengenai KL Tower International Towerthon Challenge 2018, Rozlan berkata beliau sangat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan terhadap acara tahunan yang sudah masuk edisi ke-17 tahun ini.

Katanya sejak penganjurannya, acara itu telah menjadi acara sukan lasak utama Menara Kuala Lumpur dan bertepatan dengan aspirasi untuk mempromosikan Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi lawatan wajib para pelancong ke Malaysia.

“Seramai 2,400 peserta terdiri daripada pelumba antarabangsa dan tempatan telah mengambil bahagian dalam acara yang masuk edisi ke-17 tahun ini. Kesemua mereka telah menunjukkan kesungguhan mendaki anak tangga menuju ke puncak Menara KL.

“Ini termasuk dua peserta negara yang mencatat masa terpantas masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita. Kami berbesar hati memaklumkan pelumba Anas Rosli dan pelumba wanita Tan Bee Kiang akan dibawa bertanding di Larian Tangga Menara Dunia di Taiwan pada Mei tahun depan. Kos akan ditanggung sepenuhnya oleh Menara KL dan ini merupakan kali pertama Menara KL berbuat demikian,” katanya.

Acara berkenaan didominasi peserta daripada Kenya, dengan kategori Lelaki Terbuka dimenangi Mburu John Muiruri selepas mencatat 13 minit 00.5 saat manakala kategori Wanita pula dimenangi Rosemary Mumo Katua dengan mencatatkan 14:46.9s.

Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM4,000 dan pingat emas. Hadiah disampaikan Menteri Wilayah Khalid Abd Samad.

Bagi peserta negara, Anas, 22, yang meraih kedudukan ketiga dalam kategori lelaki selepas mencatat 13:15.6s, beliau akan melakukan persiapan yang lebih rapi sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih hebat di Taiwan nanti.

“Saya gembira dapat mewakili negara ke peringkat lebih tinggi dan saya akan buat persiapan yang terbaik untuk ke Taiwan tahun depan,” kata anak muda berasal dari Rawang itu.

Bagi Tan pula, ini merupakan kali kedua beliau dipilih mewakili negara ke  Larian Tangga Menara Dunia dan mengakui cabaran di sana lebih sengit.

“Saya pernah ke Taiwan dua tahun lepas. Tetapi klai ini saya akan fokus kepada kelajuan saya,” kata ibu berusia 34 tahun itu.

Perlumbaan yang berlangsung hari ini bermula di parkir terbuka Menara Kuala Lumpur yang mana peserta perlu berlari mendaki sejauh 800 meter sehingga lobi Menara KL dan   seterusnya  memanjatakt 2,058 anak tangga hingga ke Dewan Bankuet Megaview yang terletak 288 meter dari aras bumi. – Bernama