Pelancaran Watch 13 panas, jadi sidang debat

KANGAR - Majlis pelancaran gerakan 'Watch 13' yang ditubuhkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahasiswa dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinanghari ini bertukar menjadi sidang debat apabila berlaku campur tangan pihak tertentu mempertikaikan objektif penubuhannya.

Sidang media pelancaran gerakan yang dipelopori gabungan 14 pelajar dari Ikatan Mahasiswa Perlis (IMaP), Gerakan Mahasiswa Insaniah (GMI) Legasi Mahasiswa Utara (LMU), Sekretariat Anak Muda Penang dan Persatuan Mahasiswa Sains Politik menjadi 'panas' apabila sekumpulan individu dipercayai pengurusan universiti tidak henti-henti mengajukan soalan provokatif selain menuduh mereka mendukung agenda parti pembangkang.

Debat antara kepimpinan gerakan itu dengan kumpulan individu terbabit berlangsung lebih sejam di sebuah restoran di sini dan mendapat sambutan dingin kira-kira 50 orang yang hadir susulan beberapa soalan yang dikemukakan gagal dijawab dengan baik.

Bibit-bibit ketegangan dapat dilihat sebelum bermulanya sidang media pada jam 10.30 pagi apabila terdapat sekumpulan individu, dipercayai pengurusan universiti dan waris pelajar,mengarahkan salah seorang pelajar terlibat pulang dan tidak menyertai Watch 13.

Pengerusi Watch 13, Mohd Mus'ab Habib ketika ditemui, kesal penubuhan gerakan itu dianggap mendukung perjuangan politik parti pembangkang walaupun objektif sebenar menjadi medium kepada mahasiswa dalam memberi kesedaran mendepani gelombang cabaran senario politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Di sebalik tekanan pelbagai pihak termasuk universiti, Mohd Mus'ab menegaskan gerakan Watch 13 tetap meneruskan perjuangan untuk menjadi badan semak dan imbang kepada setiap struktur sistem pemerintahan dan politik tanah air.

"Watch 13 bukan bertujuan mencetuskan huru-hara dan demonstrasi di kalangan mahasiswa, sebaliknya bertujuan memperjelaskan senario politik semasa kepada mereka melalui mengadakan perjumpaan pelajar, forum atau seminar pada mahasiswa di negeri utara tanah air," katanya.

Koordinator Watch 13, Mohd Izuwan Zaini menjelaskan pihaknya terpaksa mengubah lokasi sidang media pada saat akhir di sini setelah lokasi awal di lobi bangunan KWSP Kangar tidak mendapat kebenaran polis. 

"Kami bertindak menyewa sebuah premis restoran setelah pertemuan dengan wakil polis yang diketuai Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa dan wakil universiti pada malam semalam memutuskan tiada perhimpunan dibenarkan di bangunan kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada bimbang dikenakan tindakan tata tertib oleh pengurusan universiti disebabkan perkara itu, Mohd Izuwan menyatakan pihaknya bersedia menerima sebarang kemungkinan termasuk dikenakan tindakan.

"Kami yakin tindakan ini tidak bertentangan dengan peraturan universiti dan berharap penubuhan Watch 13 diterima secara positif semua pihak," katanya.

Simbolik pelancaran tersebut hanya dapat dilaksanakan kira-kira jam 11.45 pagi dengan upacara melepaskan 13 belon yang ditulis isu semasa rasuah, ISA, Indonism, miskin tegar, pilihan raya, pengundi hantu dan banyak lagi oleh Mohd Mus'ab.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.