SHAH ALAM - Hasil pelaburan luar negara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga kini menunjukkan angka positif dengan para pencarum menerima pulangan yang tinggi, kata Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata, setakat ini dana persaraan itu didapati tidak melabur secara semberono dan sewenang-wenang sebaliknya mengambil kira faktor risiko dalam menentukan keputusan pelaburan.

“Dalam perniagaan dan pelaburan memang KWSP mengambil kira soal risiko, ada kalanya KWSP melaksanakan pelaburan yang (menjana) keuntungan sikit dan risikonya juga minimum.

"Tetapi ada juga pelaburan (KWSP) (memperolehi) keuntungan tinggi tetapi sedikit berisiko," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah Perniagaan Antarabangsa Malaysia (MIBA) dan Anugerah Perniagaan Kecemerlangan Selangor (SEBA) di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), Mohd Fadzli Mustafa.

Lokman berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan pembangkang berhubung pelaburan KWSP di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Sehingga kini, KWSP telah melabur hampir AS$7 bilion dari segi ekuiti di AS.

Dalam pada itu, Lokman berkata daripada RM747 bilion nilai modal KWSP, RM200 bilion dilaburkan di 39 negara dan menerima pulangan pelaburan yang positif.

Sementara itu, Mohd Fadzli berkata MIBA yang julung kali dianjurkan DPMMS akan diadakan serentak dengan SEBA pada 14 November, 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam.

SEBA pula merupakan penganjuran kali keempat, katanya.

Beliau berkata, MIBA diperkenalkan bertujuan mengetengahkan usahawan tempatan yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa.

Lebih 100 pencalonan dijangka diterima bagi tempoh sebulan bermula hari ini bagi MIBA dengan 12 kategori dipertandingkan.

Layari www.seba.com.my untuk maklumat lanjut. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan permohonan untuk mendapatkan status kedaulatan di Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkannya memperolehi lebih banyak peluang pelaburan di negara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril​​​​​​​ Ridza Ridzuan.
  • KOTA KINABALU - "Jangan ambil mudah mengenai hal penamaan bagi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ia penting untuk masa depan waris kita," demikian nasihat seorang pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Laili.
  • KUCHING - Jika ditanya kepada mana-mana pekerja mengenai simpanan hari tua KWSP, kebanyakannya sedar mengenai peri pentingnya untuk menamakan penerima atau wasi bagi caruman mereka andai ditakdirkan mereka 'pergi' sebelum hari tua, malah ramai menganggap ia sebagai ‘tanggungjawab penting’.
  • GEORGETOWN - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diingatkan lebih berhati-hati dengan sindiket penipuan pengeluaran dana itu, selain perlu mempunyai sedikit ilmu pengurusan kewangan mereka.
  • MELAKA - Apakah yang akan terjadi kepada keluarga sekiranya pencari nafkah tunggalnya meninggal dunia tanpa meninggalkan apa-apa untuk meneruskan kesinambungan hidup?