KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji semula perjanjian mengenai pekerja asing dengan semua negara terlibat dalam usaha mengurangkan kebergantungan dengan mereka, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Beliau berkata, keutamaan pekerjaan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu sebelum diberi kepada pekerja asing.

"Semua perkara ini perlu dikaji semula. Bagi saya mengenai pekerja asing, kita mahu mengurangkan  kebergantungan dengan mereka.

"Keutamaan akan diberikan kepada pekerja kita, rakyat kita terlebih dahulu. Fikirkan mengenai rakyat Malaysia terlebih dahulu, yang lain kemudian," katanya di Wisma Perkeso, hari ini.

Kulasegaran, yang pertama kali menjadi menteri, mengulas mengenai perjanjian antara Malaysia dan  Bangladesh pada 2016 untuk menerima 1.5 juta pekerja.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak akan menolak ribuan pekerja Bangladesh yang sudah bekerja di Malaysia daripada pekerjaan mereka dan menghantar mereka kembali ke negara mereka.

"Kita tidak akan meminta mereka untuk keluar. Ia (mesti ada) tempoh masa. Mereka yang sudah berada di sini tidak akan diarahkan pulang. Mereka meninggalkan negara mereka dan datang ke sini. Kita akan buat apa yang boleh.

"Pengisian ini, kami bersetuju ada latihan semula dan perkara-perkara lain. Keutamaan kami sentiasa mengenai pekerja kita. Kenapa dalam sesetengah industri kita lihat banyak pekerja asing?," katanya.

Sementara itu, Kulasegaran berkata kementeriannya akan membantu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pekerja asing sebelum ini.

Beliau berkata, sejumlah 3,687 kes berkaitan sumber manusia telah dibawa ke Mahkamah Perusahaan setakat 30 April dengan 2,775 kes sedang berjalan dan 912 kes diselesaikan.

"Kami berharap dapat mempercepatkannya dalam tempoh tiga bulan, dan jika boleh, saya telah memaklumkan bahawa mereka perlu menyelesaikannya dalam masa sebulan. Saya memaklumkan mereka perlu kembali pada malam hujung minggu dan cuti umum untuk melupuskan kes-kes ini,” katanya.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk pekerja menunggu begitu lama dan kerana keadilan yang begitu penting kita mahu selesaikan (kes-kes) seawal yang boleh. Saya akan membantu dalam proses itu,” katanya. - Bernama