PUTRAJAYA – Pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan telah bekerja di Malaysia 10 tahun, kini boleh melanjutkan tempoh bekerja di negara ini dengan maksimum tiga tahun.

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata pelanjutan kebenaran bekerja kepada pekerja asing yang memegang PLKS itu yang tempoh penggajian masuk tahun ke-10 itu akan dilaksanakan mulai 1 Oktober ini.

“Kebenaran pelanjutan tempoh hanya terhad kepada maksimum tiga tahun sahaja dan diperbaharui pada setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya kerajaan pada 29 Ogos (2018) bersetuju memberi kelonggaran bagi melanjutkan tempoh kebenaran bekerja kepada pemegang PLKS dalam sektor formal yang dibenarkan sahaja iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan kuari tidak termasuk sektor yang dibekukan dan syarikat-syarikat penyumberluaran (outsourcing).

"Ini bagi membolehkan majikan mengekalkan pekerja asing mereka yang telah pun mempunyai kemahiran,” katanya.

Kulasegaran menegaskan bahawa pekerja asing berkenaan tidak layak memohon Permit Masuk atau taraf Pemastautin Tetap dan kewarganegaraan Malaysia.

Beliau berkata kadar levi sebanyak RM10,000 setahun bagi setiap pekerja asing akan dikenakan serta ditanggung oleh majikan.

Menurutnya, kutipan levi pekerja asing diperkenalkan kerajaan Malaysia sejak 1992 dan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja asing.

Pada 25 Mac 2016, Jemaah Menteri bersetuju supaya bayaran levi pekerja asing ditanggung majikan berkuatkuasa 1 Jan tahun ini. - Bernama