BERBANGSA Cina, namun tidak  pandai membaca dalam bahasa ibunda, selain hanya mampu bertutur dalam dialek Hokkien mungkin agak pelik bunyinya. Tapi itulah ‘istimewanya’ Profesor Lua Pei Lin yang merupakan pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Lebih unik lagi, wanita yang berusia 42 tahun itu juga mampu menulis dalam tulisan jawi dengan baik.

Namun, setelah mengenali lebih dekat dengan pakar dalam bidang farmasi dan kualiti hidup itu, terurailah segala persoalan kerana beliau dilahirkan, membesar dan sehingga kini masih tinggal dalam kelompok masyarakat yang lebih 95 peratus adalah Melayu.

Justeru, tidak hairanlah jika ada yang terkeliru dan menganggap beliau adalah orang Melayu sekiranya hanya mendengar suara tanpa melihat wajah yang sebenarnya.

Pertuturan pekat dalam loghat Terengganu jelas membuktikan anak kelahiran Batu Enam, Bukit Tunggal itu sememangnya hidup dan mempunyai perhubungan yang erat dengan masyarakat Melayu.

Menyingkap kehidupan selaku masyarakat minoriti, Pei Lin tidak sesekali menganggap beliau dan keluarga tersisih, sebaliknya kehadiran mereka disenangi serta mempunyai hubungan akrab dengan jiran tetangga yang hampir kesemuanya Melayu.

“Kami sekeluarga telah dilatih dan didedahkan dengan budaya dan cara hidup orang Melayu sejak daripada kecil lagi.

“Mendiang datuk saya, Lua Hong Tiong dan nenek, Gor Sow Ching yang ketika itu mengusahakan kedai runcit dan hampir kesemua pelanggan adalah jiran-jiran dan penduduk sekitar orang Melayu.

“Jadi, secara tidak langsung amalan dan budaya hidup, kecuali agama yang berbeza telah sebati dengan kami dan sehingga kini amalan itu diteruskan,” kata anak sulung daripada tiga beradik yang juga merupakan generasi peranakan Cina Terengganu.

Ibu bapa lebih suka berkain pelikat, batik

Menurut bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu lagi, disebabkan terlalu rapat dan akrab dengan masyarakat Melayu, gaya hidup termasuk sajian makanan mereka sekeluarga lebih kepada hidangan Melayu.

“Sehingga kini, ibu saya, Wong Ah Moy, 68, pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lua Chee Chiang, 73, pesara Institut Pendidikan Guru (IPG) Datuk Razali Ismail berpakaian seperti orang Melayu iaitu berkain pelikat dan batik.

“Amalan itu juga turut dilakukan mendiang nenek dan datuk saya ketika mereka masih hidup,” katanya yang mempunyai dua adik yang masing-masing berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Mengulas mengenai tugasnya sebagai pensyarah yang telah 10 tahun berkhidmat di UniSZA, jelas Pei Lin, beliau sangat bertuah dan berterima kasih kerana diberi peluang berkhidmat di universiti berkenaan.

“Memang telah menjadi hasrat saya untuk pulang berkhidmat di negeri yang saya sayangi ini dan sebahagian besar pelajar serta rakan-rakan saya adalah Melayu.

“Tanpa rasa tersisih, malah sikap saling menghormati antara satu sama lain merupakan tunjang kepada keharmonian.

“Pada pandangan saya, untuk mengenali dan hidup rapat dengan orang Melayu adalah paling utama perlu menguasai Bahasa Melayu.

“Perkara itulah yang ditekankan oleh kedua ibu bapa saya, kami juga sayangkan Bahasa Melayu seperti mana orang Melayu Islam yang lain,” katanya.

Pei Lin juga berharap agar keharmonian yang terbina dalam masyarakat majmuk ini terus dikekalkan dan tidak lagi ada unsur negatif yang menyifatkan masyarakat Cina sebagai pendatang.

“Nenek dan moyang kami mungkin asalnya pendatang, tetapi kami generasi hari ini adalah rakyat Malaysia dan dilahirkan di sini, malah cinta dan sayang kami kepada negara juga sangat kuat,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.