SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini bertitah menyeru pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) agar mempunyai sikap berani menegakkan kebenaran, demi mengangkat martabat angkatan tentera di kaca mata masyarakat.

Titah baginda, sebagai pegawai tentera mereka juga harus sentiasa bersikap  positif selain sentiasa memperbaiki diri serta boleh menerima teguran.

“Beta berharap graduan yang telah diterapkan melalui latihan ketenteraan Palapes juga akan dapat memberi nilai tambah kepada negara dan bangsa.

"Usaha harus terus dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai kaum mengikuti program ini sekaligus meningkatkan lagi semangat muhibah antara kaum menerusi latihan yang berteraskan 'Esprit de Corps' ini," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertitah pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam ke-36, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom, dan Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Sultan Muhammad V bertitah, program Palapes yang diperkenal sejak 1980-an itu dilihat telah berjaya meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam yang menyertainya.

"Sebab itu, program Palapes ini perlu dimantapkan lagi dengan usaha penambahbaikan oleh semua pihak khususnya Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Program ini juga harus disokong dan didokong dengan lebih efektif kerana ia membantu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat menyediakan mahasiswa dan mahasiswi yang bersahsiah tinggi dan berilmu," titah baginda.

Pada tahun ini, seramai 1,832 pegawai kadet Palapes yang terdiri daripada Kor Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari 18 buah universiti awam seluruh negara telah ditauliahkan.

Daripada jumlah itu, 33 orang daripadanya ditauliahkan sebagai kadet terbaik keseluruhan. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Seramai 4,867 graduan Universiti Malaya (UM) menerima ijazah masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen universiti itu pada tahun ini, bermula semalam sehingga Selasa depan.
  • TUMPAT - Kerajaan persekutuan bercadang melahirkan lebih ramai penternak ikan dalam sangkar bagi menampung permintaan bekalan yang tidak menentu terutama ketika berlaku perubahan monsun.
  • KUANTAN - Nelayan di daerah ini mengharapkan kerajaan pusat dapat menambah baik bantuan untuk golongan nelayan menerusi Bajet 2018 berikutan keadaan ekonomi semasa yang menyaksikan kos sara hidup dan aset keperluan ke laut semakin tinggi.
  • MELAKA - Sebanyak 198 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas di seluruh negara kini dalam proses baik pulih bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan anak-anak yang mendapat pendidikan di situ.
  • SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) disaran menjadi mata dan telinga Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan maklumat mengenai masalah rakyat terutamanya membabitkan isu perbandaran.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.