SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang menjalankan penyiasatan mengenai insiden ketirisan data peribadi penderma organ bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kenyataan lanjut mengenai insiden itu akan dimaklumkan oleh Jabatan PDP selepas siasatan selesai dijalankan.

"Mana-mana pihak yg disabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Pihak-pihak yang mempunyai dan mengendalikan data serta pengkalan data perlu untuk memperkukuhkan keselamatan data masing-masing supaya berlaku sebarang kebocoran dan penyalahgunaan data," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maklumat peribadi lebih 200,000 penderma organ di negara dan waris mereka boleh di dapati dalam talian lebih setahun lalu, lapor portal teknologi tempatan, Lowyat.net semalam.

Ini kebocoran data kedua terbesar dilaporkan di Malaysia dalam masa tiga bulan.

November lalu, pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat dakwaan data peribadi lebih 46 juta pelanggan telefon mudah alih dijual dalam talian, yang mungkin salah satu kebocoran data pelanggan terbesar di Asia.

Fail mengandungi maklumat 220,000 penderma organ bocor dalam talian sejak awal September 2016, lapor Lowyat.net semalam.

Sumber itu tidak dapat dikenal pasti.

Data bocor itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, kaum, taraf kerakyatan, alamat dan nombor telefon penderma.

Data tersebut juga mengandungi maklumat waris penderma organ, menjadikan mangsa kebocoran data itu seramai 440,000 orang.