KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan RM1.5 bilion menaik taraf dan memperluaskan penggunaan sistem arahan kawalan komunikasi komputer maklumat (C4i) yang didapati berkesan membanteras jenayah dan krisis pengurusan sejak digunakan pada 2002.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, jika permohonan peruntukan itu diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, pihaknya menetapkan sasaran menaik taraf segera sistem itu yang kini hanya diaplikasikan di Lembah Klang, ke seluruh negara bermula tahun depan.

"Ketika diperkenalkan pada 2002, sistem ini hanya beroperasi di Lembah Klang dan selepas 10 tahun diperkenalkan, kita menerima banyak komen positif mengenai keberkesanannya dan hari ini polis bersama Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) akan melakukan penambahbaikan sistem itu bagi memudahkan tugas kepolisan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PDRM dan MIMOS di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden dan  Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Wahab Abdullah.

Ismail berkata, perjanjian itu menyaksikan MIMOS yang terkenal dan pakar dalam sistem teknologi maklumat akan bertindak sebagai penasihat dan perunding kepada polis dalam melakukan  penambahbaikan terhadap sistem berkenaan.

Katanya, daripada peruntukan yang dipohon, sebanyak RM8 juta akan digunakan bagi menaik taraf sistem berkenaan di Lembah Klang sebagai fasa pertama projek sebelum penaiktarafan itu diperluaskan ke negeri lain.

"Kita akan tambah baik sistem C4i ini di kawasan Lembah Klang terlebih dahulu dengan peruntukan awal sebanyak RM8 juta dan kita akan dapatkan nasihat MIMOS untuk projek permulaan ini," katanya.

C4i merupakan projek yang menggunakan teknologi 'Cutting Edge' bagi penambahbaikan kecekapan dan keberkesanan operasi pusat kawalan dan juga petugas di lapangan terutama dari segi masa tindakan terhadap insiden jenayah harta benda dan nyawa manusia, membolehkan polis memperbaiki respons masanya bagi insiden dari 15 minit kepada 5.7 minit.

Objektif utamanya bagi membantu pusat kawalan membuat keputusan dan tindakan terhadap sesuatu insiden dengan pantas, membantu dalam membuat analisa indeks jenayah dan  perancangan pencegahan, membantu menggunakan sumber-sumber maklumat pangkalan data secara lebih efektif dan sebagai alat dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan dan  penguatkuasaan undang-undang.

C4i yang pernah memenangi anugerah global semasa FutureGov Summit 2008 di Bali, dipercayai merupakan sistem arahan dan kawalan pertama di rantau ini yang ketika ini digunakan pasukan bersenjata. - Bernama