SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan serius terhadap kes-kes melibatkan ugutan bunuh seperti yang dihadapi oleh Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, ugutan bunuh merupakan satu langkah keganasan dan sekiranya tiada tindakan pantas diambil oleh PDRM, kes sedemikian dibimbangi akan berulang selepas ini.

"Dalam kes ini, kita dapat lihat bagaimana satu ugutan bunuh terhadap Syeleena mampu untuk mempengaruhi pihak lain untuk melakukan tindakan sama.

"Jadi PDRM perlu menyiasat kes ini sebagai satu ugutan jenayah yang serius bagi membolehkan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Syerleena yang juga merupakan bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang membuat satu laporan di Balai Polis Jelutong berhubung penyebaran sebuah poster yang dimuat naik di laman Facebook.

Menerusi poster terbabit, terdapat tulisan yang menyebut darah Syerleena halal dan tidak berdosa dibunuh berikutan dia merupakan seorang pengkhianat Islam serta bersengkongkol dengan DAP.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Maria yang juga merupakan bekas aktivitis memaklumkan bahawa, ugutan bunuh bukannya merupakan kebebasan bersuara dan tindakan itu adalah untuk menakut-nakutkan mangsa.

"Saya sendiri juga pernah menerima beberapa ugutan bunuh sepanjang karier saya. Dan ini termasuk beberapa daripadanya yang turut dihantar kepada ahli keluarga saya sendiri," katanya.

Sehubungan itu, Maria berkata, pihaknya berharap agar Akta Anti Intipan perlu dipertimbangkan selepas ini susulan daripada kes ugutan terhadap Syerleena tersebut.

"Apabila negara ini semakin maju dengan demokrasi, kita tak boleh membiarkan perkara-perkara begini memberi kesan bahaya kepada masyarakat," katanya.