BATU PAHAT- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah bertindak memantau mana-mana peralatan komunikasi milik kerabat Johor termasuk milik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, ini berikutan PDRM hanya menjalankan pemantauan bagi kes yang melibatkan keselamatan negara seperti kumpulan ekstremis dan sebagainya.

“Saya berani tegaskan di sini kita tidak memantau mana-mana peralatan komunikasi Tunku Ismail, banyak urusan lain kita perlu lakukan seperti (memantau) kumpulan penculikan, ekstremis, Daesh yang harus kita pantau.

“Kita tidak buat kerja-kerja pemantauan sedemikian kecuali perkara yang berkaitan keselamatan yang memerlukan kita memantaunya polis akan lakukan,” katanya.

Noor Rasyid berkata demikian pada sidang media di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Zakaria Ahmad.

Terdahulu, Noor Rashid menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 576 pegawai dan anggota polis negeri ini yang bertugas ketika zaman darurat dan komunis.

Dalam perkembangan lain, Noor Rasyid, berkata, PDRM masih menyiasat kedudukan terkini ahli perniagaan dikehendaki, Jho Low.

Katanya, meskipun individu tersebut ada membuat panggilan telefon kepada Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) Tun Daim Zainuddin, baru-baru ini, namun kedudukannya  masih belum diketahui secara tepat.

“Kita belum pasti Jho Low di mana, tapi kita  boleh agak dekat sesuatu lokasi itu. Namun, meskipun kita tahu dia berada di satu-satu tempat, tapi kita tak boleh sesuka hati masuk ceroboh negara orang.

“Setiap negara ada kedaulatan sendiri. Maka kita akan memohon kerjasama interpol sekiranya dapat pengesahan lokasi beliau. Kita harus bekerjasama dengan negara yang dia berada,” ujarnya.