KUALA LUMPUR - Isu media sosial milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim diintip individu tertentu menggunakan teknologi Israel perlu dipandang serius oleh rakyat di negara ini.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku berikutan pihak istana yang sepatutnya mengintip semua tindakan oleh menteri dan kerajaan pada masa ini bagi memastikan tiada sebarang penyelewengan berlaku.

"Sepatutnya istana yang intip apa yang kerajaan telah laksanakan tapi ini sebaliknya yang berlaku.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan nafi kenyataan TMJ]

"Dan perkara ini perlu dipandang serius oleh rakyat," katanya ketika sesi sembang santai di kediamannya, hari ini.

Sebelum ini, Tunku Ismail dalam laman sosial Facebooknya turut mendedahkan laman sosial ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, turut diperhatikan individu tertentu.

Malah beliau turut mendakwa, ramai 'cybertroopers' diletakkan di laman sosial milik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Alat berkenaan yang didakwa dimiliki kerajaan digunakan untuk tujuan pengintipan dan mengumpul data selain digunakan sebelum pilihan raya bagi membantu dalam perang siber

Malah, polis baru-baru ini turut memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang laporan bersabit dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Jamal berkata walaupun beliau merupakan anak Selangor namun institusi diraja perlu dipertahankan dari ancaman mana-mana pihak.

"Saya akan pertahankan dan pandang serius kenyataan dibuat oleh Tunku Ismail tersebut dan kami turut sanjungi kebimbangannya itu," katanya.