PUTRAJAYA -  Penjawat awam disaran mematuhi prosedur keselamatan serta memberi penekanan sewajarnya terhadap pengurusan keselamatan  bagi mengelakkan sebarang kebocoran maklumat rasmi atau rahsia kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata, ia penting untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan komunikasi tidak terjejas dengan ancaman siber seperti spamware dan malware.

Menurutnya, pembudayaan pengurusan keselamatan di setiap agensi kerajaan merupakan satu teras kesempurnaan integriti perkhidmatan awam.

"Kementerian dan jabatan kerajaan hendaklah sentiasa bersedia menghadapi dan menangani risiko keselamatan dalam arus perubahan persekitaran yang semakin dinamik dan mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah  Khas Keselamatan Perlindungan 2016 di sini hari ini yang menyaksikan 45 agensi kerajaan mendapat penarafan lima bintang dalam pengurusan keselamatan perlindungan pada tahun lepas.

Agensi kerajaan yang mendapat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan 2016 itu termasuklah enam kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebanyak 39 agensi kerajaan pula terdiri daripada Jabatan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan, Jabatan Persekutuan Peringkat Negeri dan Jabatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Sebanyak 185 agensi kerajaan dinilai di dalam inspektorat pada tahun lepas.

Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan diperkenalkan sejak tahun 2013 bertujuan memberi pengiktirafan ke atas tadbir urus keselamatan perlindungan yang terbaik di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Dakwaan seorang menteri kanan bertemu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi menyatakan hasratnya meletak jawatan adalah perkara yang tidak masuk akal.
  • KUALA LUMPUR - Semua anggota pentadbiran kerajaan yang telah mengangkat sumpah rahsia tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) di mana-mana premis termasuk di Parlimen, kata Timbalan Perdana Menteri.
  • KUALA LUMPUR - Semua pihak diminta tidak memperjudikan keselamatan dan rahsia negara demi mengejar kepentingan politik masing-masing.
  • KUALA LUMPUR - Kebebasan bersuara bekas menteri di dalam Dewan Rakyat bukan menjadi tiket untuk mereka mendedahkan rahsia kerajaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.