SHAH ALAM -  Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Selangor mengkritik tindakan kem Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang disifatkan tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan didakwa demi kepentingan peribadi mengecapi kedudukan pada pemilihan PKR kali ini.

Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah, berkata,tindakan kem Rafizi  jelas kebudak-budakan dan mencalar kesatuan  PH yang dibina gah secara bersama hanya disebabkan kerisauan tidak berasas oleh kem Rafizi.

"Kem Rafizi telah menyerang Datuk Seri Azmin Ali dengan mengatakan bahawa beliau tidak setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan menentang beliau, namun segalanya tidak berlaku dan ternyata hanya lontaran persepsi oleh mereka.

"Kini isu dalaman parti ini ingin dikaitkan pula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang secara jelas dalam banyak kenyataan beliau bersedia untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Datuk Seri  Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Tambahnya, tindakan permainan persepsi yang dibuat kem Rafizi  mampu mengakibatkan sengketa dan memecahkan kapal besar PH.

"Sedang kerajaan PH sedia ada dengan gandingan Dr. Mahathir dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan bebanan yang hebat untuk melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat, namun bibit untuk memulakan sengketa ini wajar ditolak dan dikecam demi melunaskan harapan kepada rakyat,"katanya.

Jelas Adhif, beliau sendiri dalam tempoh hampir tiga tahun lalu memastikan Armada di pelbagai peringkat di negeri Selangor meletakkan sepenuh jiwa dan raga bagi memastikan kejayaan PH dengan kerjasama erat gabungan setiap parti.

Malah ujarnya,  gabungan erat setiap parti dalam PH di seluruh pelusuk tanahair diterajui Dr. Mahathir  yang membawa dinamisme kesinambungan Anwar telah menyaksikan kemenangan PH mentadbir Malaysia pada hari ini.

"Kini Dr. Mahathir Mohamad di usia 93 tahun bertungkus-lumus bersengkang mata berusaha merencana agenda perubahan buat negara setelah dirosakkan oleh rejim BN di bawah Najib Razak dengan membawa semangat reformasi yang disepakati oleh seluruh gabungan," katanya.