PUTRAJAYA - Tiga perkara utama akan diberi perhatian Pasukan Petugas Khas 1MDB bagi meneruskan siasatan berhubung skandal membabitkan syarikat pelaburan berkenaan.

Melalui satu kenyataan media ringkas oleh pasukan petugas khas berkenaan yang bermesyuarat hari ini, pasukan itu membincangkan secara terperinci tiga perkara utama berkenaan.

“Tumpuan diberikan bagi pengesanan aset; membawa balik semua wang dan aset hasil daripada aktiviti kesalahan 1MDB selain tindakan jenayah ke atas pihak-pihak terlibat melalui akta SPRM, Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan tersebut.

Pasukan petugas khas juga berjanji untuk menjalankan tugas secara telus, adil dan profesional.

Pasukan Petugas Khas tersebut mengadakan mesyuarat pertama di ibu pejabat SPRM dipengerusikan Tan Sri Abdul Ghani Patail, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Datuk Abdul Hamid Bador.

Sementara itu mesyuarat seterusnya akan diadakan esok.