SHAH ALAM - Umno menggesa kerajaan mewujudkan keseimbangan dalam badan kehakiman (judisiari) di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, mengambil contoh lantikan menteri berkaitan perundangan, Peguam Negara dan terbaharu Ketua Hakim Negara, ia sepatutnya dibuat berdasarkan kepada kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

“Ini bukan soal kita menidakkan hak orang bukan Islam tetapi kalau diikutkan mereka juga sebelum ini menyuarakan soal keseimbangan dan ini termaktub dalam perlembagaan.

“Dalam keadaan sekarang kita tidak mahu wujud persepsi buruk rakyat bahawa kerajaan pada hari ini tidak menjaga kepentingan Islam di negara ini. Pada saya mengapa tidak dilantik mereka beragama Islam bagi Ketua Hakim Negara selepas jawatan Peguam Negara di pegang oleh individu bukan beragama Islam,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Tan Sri Richard Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Malanjum, 65, menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Richard Malanjum Ketua Hakim Negara baharu]

Namun begitu, pelantikan Richard juga mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat termasuklah Pas sendiri dengan menyatakan keresahan susulan pelantikan tiga figura mengepalai sektor judisiary di negara ini.

Dengan merujuk pelantikan Datuk Liew Vui Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bahagian hal ehwal Undang-Undang); Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan menyifatkan tiga serangkai sangat membimbangkan umat Islam

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga serangkai sektor judisiari resahkan umat Islam]

Mengulas perkara tersebut, Fathul Bari berkata, kebimbangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak itu adalah berkaitan dengan rekod penghakiman terdahulu beliau.

“Ada asasnya mengapa orang Islam risau kerana soal agama itu suatu yang sensitif disamping beberapa isu seperti pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara hangat diperkatakan.

“Sepatutnya kerajaan pada hari ini lebih sensitif dengan apa yang sedang terjadi. Ambil kira suara dan pandangan rakyat di bawah,” katanya.

Namun begitu beliau tidak mahu membuat kesimpulan awal terhadap Richard berhubung dengan kedudukan agama Islam di negara ini.

“Tidak adil untuk saya menghakimi beliau buat masa sekarang. Kita lihat terlebih dahulu,” katanya.