KUALA LUMPUR - Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang mempunyai ciri keselamatan yang tinggi sekali gus menduduki ‘ranking ke-5’ paling berkuasa di dunia membuktikan pengiktirafan negara lain terhadap Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pengiktirafan oleh Global Passport Power Rank 2018 itu menjadikan PMA setanding dengan pasport negara lain seperti New Zealand dan Australia.

“PMA kita mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi, contohnya penggunaan e-passport. Malaysia merupakan pengeluar pertama dunia yang mengeluarkan e-passport yang menggunakan cip keselamatan yang tertanam di dalamnya.

“Ini memudahkan segala urusan di kaunter Imigresen. Kami boleh kenal pasti segala maklumat dan profil pemegang pasport termasuk pergerakan dan perjalanannya di setiap negara dengan pantas apabila diimbas di kaunter imigresen,"  katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata selain itu, PMA sukar dipalsukan kerana mempunyai sistem keselamatan pada polikarbonat selain ciri keselamatan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Mustafar berkata, hanya pegawai Imigresen terlatih sahaja mampu mengesan sekiranya terdapat mana-mana pihak tidak bertanggungjawab cuba menciplak PMA.

Mustafar berkata lagi, selain ciri-ciri keselamatan, prinsip Rukun Negara dan imej grafik yang menggambarkan lokasi ikonik dan mercu tanda negara juga dicetak pada PMA.

“Paling penting, PMA mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mewujudkan spesifikasi dan standard piawaian dokumen perjalanan bagi tujuan mengawal pergerakan keluar masuk di sempadan negara,” katanya. - Bernama