HINDIA BARAT -  Pasport kedua ahli perniagaan dikehendaki, Jho Low dilaporkan telah dibatalkan negara pengeluarnya, Sains Kitts and Nevis.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik penerbitan mingguan St Kitts & Nevis Observer, negara itu membuat keputusan tersebut Jun lalu susulan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia mahu menangkap Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Jho Low menjadi warganegara ekonomi St Kitts and Nevis bawah pentadbiran (perdana menteri) Denzil Douglas pada tahun 2011 tetapi tidak pernah memasuki negara ini.

“Rekod imigresen menunjukkan bahawa Jho Low tidak pernah memasuki mana-mana pelabuhan di St Kitts and Nevis.

“Pentadbiran Perdana Menteri, Timothy Harris mengambil keputusan untuk membatalkan pasport Saint Kitts and Nevis yang dibawa Jho Low melalui Interpol pada bulan Jun lalu selepas membuat pertimbangan," kata laporan berita yang diterbitkan pada Selasa.

Status warganegara ekonomi dikeluarkan kepada mana-mana individu yang berminat untuk mendapatkan kewarganegaraan kedua selepas membuat pelaburan atau sumbangan dana ke sesebuah negara.

Julai lalu, Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan Jho Low mempunyai pasport yang dikeluarkan oleh Saint Kitts and Nevis menggunakan namanya sendiri.

Sementara itu, pasport Malaysia yang dipegang ahli perniagaan dari Pulau Pinang itu juga telah dibatalkan Jun lalu atas permintaan SPRM.