KUALA LUMPUR - Pas memberi jaminan pihaknya akan mematuhi segala arahan penganjur dan pihak keselamatan dalam himpunan esok.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau sedia maklum pesanan ringkas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap peserta himpunan itu.

"Saya mengikuti pesanan ringkas yang disampaikan oleh Perdana Menteri kepada peserta Himpunan Aman Membantah Ratifikasi ICERD esok di Kuala Lumpur.

"Pas memberikan komitmen untuk mematuhi setiap arahan penganjur dan pihak keselamatan dari semasa ke semasa, bagi memastikan kejayaan perhimpunan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir hari ini menyampaikan pesanan ringkas kepada peserta himpunan agar tiada kekacauan atau kerosakan harta benda awam serta menjaga kebersihan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Permintaan PM kepada penganjur perhimpunan esok]

Abdul Hadi turut memaklumkan partinya menyambut baik kerjasama yang diberikan kerajaan khususnya daripada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.