MARANG - Pas mengucapkan tahniah atas kemenangan gandingan Anies Beswedan dan Sandiaga Uno dalam Pilihan Raya Gabenor Jakarta setelah mengalahkan penyandang jawatan itu, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan timbalannya, Djarot Saiful Hidayat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menaruh harapan tinggi kepada Anies Beswedan dan Sandiaga Uno untuk berlaku adil kepada semua dengan menjaga hak bagi orang Islam dan bukan Islam kerana konsep adil dalam Islam itu dekat dengan sifat taqwa.

Menurutnya, pilihan raya berkenaan mendapat perhatian umat Islam seluruh dunia berikutan tindakan Ahok menghina al-Quran dan mendapat reaksi luar biasa umat Islam melalui Himpunan Jutaan Umat dan protes undi pilihan raya.

"Kita bergembira dengan kemenangan ini atas nama kesatuan umat Islam. Islam mengajar cara bermasyarakat majmuk dalam negara berbilang kaum agama, warna kulit dan jantina.

"Di mana wajib bagi orang Islam tidak meruntuhkan binaan rumah ibadat orang bukan Islam, manakala orang bukan Islam juga wajib menghormati hak beragama orang Islam dan saling menjaga sensitiviti beragama," katanya hari ini.

Dalam pada itu, beliau dalam masa sama mengajak seluruh umat Islam untuk bersatu di atas nama Islam dan bekerjasama di atas nama kemanusiaan dalam masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama.

"Ingatlah bahawa umat Islam akan kuat apabila berpegang dengan ajaran Islam, dan menjadi lemah apabila meninggalkan perintah ALLAH.

"Pada masa sama, hak dan urusan ibadat orang Islam haruslah dihormati bertepatan dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan.

"Bersikap chauvinis dan politik perkauman sempit hanya akan mengundang suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan perlu dihalang dari disuburkan," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pas mendakwa pembatalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas 60 barangan makanan dibuat bukan kerana kerajaan prihatin dengan masalah rakyat.
  • MARANG - Alhamdulillah, keadaan Ayah Cik semakin sihat,” kata Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Hishamuddin Abdul Karim dalam entri Facebooknya selepas melawat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.