KUALA LUMPUR - Pas mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengetatkan kawalan keselamatan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada pihak tertentu akan mencetuskan gangguan bagi menjejaskan perjalanan kempen pilihan raya kali ini.

"Kalau ada dokumen dan cukup maklumat, mengapa tidak ambil tindakan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu sedar sebelum ini ceramah Pakatan Rakyat diganggu.

"...saya berani katakan mereka ini mendapat perlindungan pihak tertentu termasuk 'jaminan' polis," kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media semalam.

Sementara itu, Mahfuz menyifatkan Barisan Nasional (BN) telah melakukan jenayah demokrasi apabila bertindak merampas kuasa tanpa senjata dan menafikan hak rakyat memberi mandat baru bagi membentuk kerajaan meskipun sudah genap lima tahun penggal berakhir pada 8 Mac lalu.

Mahfuz mendakwa negara pada hari ini diuruskan oleh kerajaan yang tidak mendapat mandat daripada rakyat yang berlarutan lebih 19 hari.

"Tak pernah pilihan raya umum dilakukan lepas tempoh mandat lima tahun.

"... namun malangnya lepas 8 Mac lalu, mereka (BN) lakukan rampasan lkuasa tanpa senjata, rampas kuasa dan hak rakyat untuk beri mandat kepada parti yang dapat majoriti untuk bentuk kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan BN supaya mengembalikan kuasa demokrasi itu kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baharu nanti.

Malah kerajaan pada masa ini bukannya kerajaan sementara kerana Parlimen belum dibubarkan.

"Tindakan kerajaan BN sangat memalukan kerana akan timbulkan krisis kepercayaan masyarakat peniaga dan pelabur luar apabila lihat BN ketepikan kuasa rakyat," dakwanya.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mendesak BN mendedahkan sebarang perjanjian yang dibuat melibatkan kewangan selepas mandat kerajaan berakhir 19 hari lalu.

Jelas Mahfuz, kerajaan sementara tidak boleh melulus atau menggunakan dana awam untuk sebarang projek selepas tempoh penggal mereka berakhir.

"Kita bimbang jika kerajaan buat keputusan libatkan kewangan dan kita desak kerajaan umumkan keputusan apa-apa projek yang telah dilulus dan dianugerahkan lepas 8 Mac.

"... ini termasuk perjanjian dalam Lima (Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi) yang libatkan pembelian kapal terbang ataupun senjata yang bermula semalam (kelmarin)," tegasnya.

Beliau mendakwa kuasa kerajaan sementara itu terhad kepada pentadbiran harian kerajaan yang tidak melibatkan implikasi kewangan sahaja.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - - Pas menyifatkan langkah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menarik balik kesediaan memenuhi permintaan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk muncul di televisyen bagi menjelaskan isu Amanat Haji Hadi menunjukkan pemimpin Umno mula mengambil sikap "diam diri" daripada membicarakan isu tersebut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.